Categories
Rencana

Penggodam, Pengintip dan Pelanun Zaman Informasi

Dalam perkampungan digital, sifat kekitaan itu boleh jadi lebih jelas dan semula jadi kalau kita mengamati peredaran dunia digital.

Pada zaman dahulu kala, dunia maritim tidak lekang daripada pelanunan. Menurut mitos kuno, salah satu sebab mengapa ilmu mistik giat dipraktikkan dalam kalangan pelanun adalah atas dasar kemandirian di mana keadaan laut itu harus dikawal dan ditadbir mengikut kehendak nakhodanya. Laut-lautan seperti yang kita sedia maklum, meliputi tiga perempat bahagian bumi dan mempunyai banyak zat terdiri daripada ikan-ikan kepada tumbuh-tumbuhan laut yang jauh daripada pencemaran.

Perbandingan semacam dapat dibuat terhadap dunia siber juga . Lautan siber dipenuhi zat pengetahuan dan pertukaran informasi yang tidak bertakung daripada arus deras ledakan maklumat. Namun, sesuatu ilmu dan pengetahuan itu kalau disalah guna, tentu akan membawa padah kepada pengguna sejagat.

Dengan ledakan maklumat yang sangat pesat, timbul pula masalah dalam dunia digital yang berpunca daripada penggodaman, pengintipan dan pelanunan. Dalam hal ini, kita seharusnya lebih berwaspada dalam menerokai ruang siber. Baik untuk hiburan, urusan kerja atau urusan peribadi, kita harus meredah badai niskala ini dengan penuh hemat. Masalah ini kian tampak sejak-semenjak ini dengan giatnya manusia seantero dunia, bekerja dan bersekolah dari rumah angkara wabak COVID-19. Sedangkan sistem badan-badan terkemuka juga mampu diceroboh masuk, apalah sistem rangkaian peribadi?

Masalah ini sangat rumit bagai mencari jarum dalam jerami dan sukar dibendung. Ia bukanlah masalah perseorangan tetapi membabitkan jutaan pengguna semasa. Pernah tersebar di dada-dada akhbar tentang individu yang menjadi mangsa penipuan dalam talian, atau kad kredit mereka dinyahkunci tanpa kebenaran lalu dibelanja tanpa mereka sendiri tahu-menahu. Di peringkat organisasi pula, timbul kes kebocoran data raya seperti maklumat sulit pelanggan dan keutuhannya tidak dapat lagi dikembalikan kepada asalnya walaupun penggodam tersebut sudah diberkas dan dijatuhkan hukuman. Penggodaman kelas-kelas dalam talian yang memaparkan bahan tidak bermoral juga seolah-olah membubuh garam ke parut luka. Ia umpama pencerobohan orang luar ke dalam perkarangan sekolah yang sepatutnya tempat selamat bagi para pelajar dan guru berinteraksi.

Pada suatu ketika, kita seringkali mendengar nasihat-nasihat pakar supaya memantau anak-anak di bawah umur dalam penggunaan internet supaya mereka tidak terjebak ke dalam masalah seperti penipuan siber. Ironinya, lebih kurang sedekad kemudian, golongan orang dewasa juga tidak terlepas daripada perangkap ini. Sebagai gambaran, kebanyakan orang dewasa menggunakan perbankan dalam talian untuk berurus niaga. Tiba-tiba, datang pula suatu mesej pesanan ringkas atau panggilan yang menyamar sebagai wakil bank berkenaan, yang meminta maklumat peribadi atas dasar pengesahan. Tanpa mendapatkan kesahihan pemanggil tersebut, si mangsa akan menyerahkan butiran peribadi sepenuhnya serta-merta kerana panggilan tersebut dibuat atas nama institusi dipercayai. Pendedahan maklumat peribadi tersebut membuka gerbang kepada pelbagai masalah. Ia menjejas keselamatan siber individu, menghakis keyakinan masyarakat dan menduga kedaulatan negara. Maka dengan itu, tidak hairanlah mengapa banyak negara telah menggagas pertahanan siber sebagai salah satu domain pertahanan mutlak demi kebajikan semua.

Selain daripada penggodaman, kita juga terdedah kepada marabahaya pengintipan zaman moden. Mereka terdiri daripada individu ataupun organisasi gelap yang mengintai dan memantau penggunaan internet seseorang. Mereka mampu menjalankan operasi tersebut dengan menanam perisian hasad ataupun perisian intip yang akan merakam setiap tindak-tanduk mangsa, kemudian menggunakan maklumat tersebut untuk menindas atau memeras ugut seseorang individu atau membocorkan rahsia sesebuah pertubuhan. Hal ini boleh terjadi kalau si mangsa menekan pautan internet atau memuat turun aplikasi yang yang mencurigakan. Daripada itu, suatu pepijat kemudian akan memasang perisian hasad atau perisian intip tanpa pengetahuan pengguna langsung. Natijah yang diinginkan boleh jadi wang yang kemudian digunakan untuk membiaya kegiatan tidak beretika melangkaui imaginasi. Jika diberkas, individu atau organisasi tersebut boleh disalah tuduh. Jika disabit kesalahan, mulut mangsa seolah-olah ditekup daripada bersuara kerana fakta yang dikemukan hanya berdasarkan pernyataan lahiriah sahaja. Ini dapat menimbulkan masalah yang lebih serius kerana tindakan tersebut ibarat melontar batu sembunyi tangan.

Pelanunan dunia digital pula tidak asing di cuping telinga ramai sejak azali lagi. Pelanun dunia digital yang dikenali sebagai pencetak rompak, tergolong daripada mereka yang memuat turun bahan hak cipta terpelihara seperti muzik dan filem lalu, mengedarkannya semula untuk keuntungan sendiri sedangkan penciptanya tidak mendapat satu sen pun. Namun, jangan tersilap bahawa dunia hiburan sahaja yang terdedah kepada onak cabaran ini. Penerbit bahan ilmiah seperti penulis-penulis buku dan pengedit gambar stok juga dibelenggu masalah ini. Tamsilnya, pencetak rompak tersebut hanya perlu membeli satu e-buku kemudian digodam agar hilang kod pengesan untuk diedarkan semula melalui tapak sesawang lain. Pengguna bahan yang terdesak, tentu sekali akan melungsuri lelaman web tersebut untuk mendapatkan bahan percuma. Akan tetapi, harus diingat bahawa kadangkala, memuat turun secara percuma tidaklah sepertimana diuar-uarkan kerana kemungkinan besar lelaman sebegini dipenuhi pepijat, perisian hasad dan perisian intip juga. Akhirnya, ia menjadi satu wilmana yang memudahkan perekah rangkaian atau komputer untuk menggodam, mengintai dan melanun berpangkalan dari sarang mereka. Ini belum lagi menyentuh hal pembulian siber.

Secara amnya, kita mestilah berwaspada ketika memeriksa e-mel, menggunakan aplikasi media sosial, ataupun menjawab panggilan daripada nombor talian yang tidak dikenali kerana penjenayah siber semakin licik saban hari. Menurut cadangan pakar, selain daripada mengamalkan langkah-langkah tersebut, kita juga sewajarnya nyahpasang aplikasi yang sudah lama tidak digunakan, mengemas kini kesemua perisian peranti kita, dan kalau peranti tersebut telah mencapai jangka hayat maksima, sebaiknya dinaik taraf supaya mendapat piawai keselamatan digital yang terkini. Bertitik tolak daripada itu, banyak yang boleh dipelajari daripada anak-anak muda kita yang seringkali menukar-nukar nama pengguna mereka dan menyekat pengikut-pengikut awanama atau tidak dikenali. Selain daripada kerap menggantikan kata laluan, pengesahan dua langkah juga sejauh ini kian popular dalam kalangan netizen di mana selain daripada menaipkan kata laluan, kod keselamatan khusus akan dijana sebagai langkah kedua sebelum mendaftar masuk ke dalam portal e-mel atau media sosial.

Marcapada ini, peribahasa Melayu dan nilai-nilai ketimuran jauh daripada menjadi tidak relevan. Malah, ia lebih penting dalam membanteras masalah ini. Perkampungan global menggantikan perkampungan atap yang kita kenal selama ini. Misalnya, dalam peribahasa cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar, yang bermaksud, berhati-hati semasa bercakap dengan orang kerana, percakapan yang sembarangan boleh membawa akibat yang buruk. Peribahasa klasik ini tercipta sewaktu zaman perkampungan dalam ketiadaan wadah internet. Sekarang, sebagai pengguna internet yang lazim, sepatutnya pepatah ini disemarakkan dalam diri setiap warga siber agar tidak menggores perasaan mana-mana pihak sewaktu perhubungan dalam talian.

Bagi mereka yang beraspirasi untuk menjadi pempengaruh media sosial, ketahuilah kalau besar kapal, besarlah gelombangnya. Menjadi pempengaruh media sosial mempunyai tanggungjawab sosial yang berat lagi dinamik dan tertakluk pada penghakiman masyarakat. Kadangkala, siaran seseorang pempengaruh itu boleh disalah tafsir, kemudian ditular lalu membawa padah nan parah kepada pempengaruh tersebut. Pempengaruh media sosial ternyata patut digalas mereka yang tahan hati kerana seteru seseorang pempengaruh itu, belum tentu dikenali secara peribadi namun tetap menguji bertubi-tubi.

Sebagai konsumer internet dan media sosial pula, janganlah kita alpa dan mudah terpedaya dengan berita palsu. Dapatkan kesahihan sesuatu berita sebelum menyebarkannya bak pepatah khabar jauh didengar-dengar, khabar dekat difikir-fikirkan. Sifat bergotong-royong kini lebih daripada turun ke padang untuk memberi sumbangan fizikal. Dalam perkampungan digital, sifat kekitaan itu boleh jadi lebih jelas dan semula jadi kalau kita mengamati peredaran dunia digital. Ia bergantung pada kita bagaimana dunia abstrak ini akan dikemudi.