Categories
Rencana

Adakah kita perlu melalui perubahan untuk terus membangun?

Andai kata kita tidak ada pembangunan, akan kecundang dan mundurlah kita jika diukur tara dengan orang lain yang telah maju melebihi kita.

Mengapa perubahan itu harus?

Perubahan bermaksud peralihan dalam sesuatu kepada yang lain. Dalam erti kata lain, dalam perubahan, sesuatu tidak akan menjadi sama daripada asalnya lagi. Perubahan itu adalah harus untuk mengikut rentak hidup semasa agar kita tidak ketinggalan.

Sebagai individu, kita mestilah berubah dari satu fasa ke satu fasa agar tidak jemu. Selain daripada itu, ia juga dapat mencerminkan peningkatan diri. Seperti contoh, perubahan peringkat Menengah 1 ke Menengah 2 mencitrakan bagaimana kita telah mara dari sudut akademik. Sebagai orang dewasa, perubahan ini dapat dilihat dari perspektif kenaikan pangkat mahupun tugasan atau projek yang digalas. Dampaknya jelas di mana individu tersebut akan meraih kemahiran hidup. Makanya, adalah wajar perubahan menjadi ruji kehidupan untuk menambah asam garam dalam kehidupan.

Bagaimana kita boleh mengubah diri?

Ada beberapa cara untuk kita mengubah diri kita ke arah kemajuan dan kejayaan mandiri.

Sebagai titik permulaan, perubahan diri itu harus bermula dengan motivasi dan dorongan diri. Ini bererti, individu tersebut sewajarnya berprakarsa untuk menjadi seorang yang lebih baik. Tiada gunanya dijemput atau didenda jika empunya badan tidak beranjak pemikirannya. Seperti contoh, walaupun pelajar telah dihantar ke kelas-kelas tuisyen yang mahal atau dijemput untuk menghadiri bengkel menulis, perubahan itu tidak akan berbuah jika pelajar tersebut memberatkan tulang malah menyusahkan orang. Natijahnya, ia hanya membazir masa menghadirkan diri dan tidak meraih sebarang manfaat.

Beritik tolak daripada itu, kita boleh mengubah diri dengan mempelajari daripada orang lain yang lebih berpengalaman ataupun mendapatkan suri teladan untuk dicontohi. Sebagai manusia, kita sering mempelajari dengan meneladani orang lain. Kita meniru apa yang baik. Kemudian, kita memperbaik cara tersebut jika mampu. Ini dapat dilihat bagaimana negara-negara membangun akan mencuba meniru negara-negara maju, kemudian mengubah dasar-dasar mereka mengikut konteks negara mereka. Begitulah juga kita yang seharusnya meniru perbuatan atau nilai yang boleh diguna pakai. Tamsilnya, kita boleh mencontohi rakan-rakan kita yang sering menonton YouTube untuk menimba ilmu baharu. Dengan mengikut-ikut perbuatan yang molek itu, kita tidak sahaja meraih pengetahuan malah menjalin persahabatan seminat. Perubahan sebegini tentu memberi kesan yang progresif dalam hidup kita.

Intihanya, pembangunan diri itu memerlukan tindakan daripada individu itu sendiri. Andai kata kita tidak ada pembangunan, akan kecundang dan mundurlah kita jika diukur tara dengan orang lain yang telah maju melebihi kita. Seyogianya, ia harus direnung dan dirancang agar mengharungi persaingan rentas sempadan. Jangan pula kita membabi buta menjalani hidup tanpa makna.