Categories
Rencana

Manfaatkan Waktu Senggang Semasa Sekatan Pergerakan

Dalam situasi ekonomi dan kesihatan dunia yang tidak menentu, ada beberapa cara kita boleh mengatasi masalah ini. Kita mesti percaya bahawa setiap sesuatu yang berlaku ada asbabnya. Percaya atau tidak, setiap peristiwa dunia yang berlaku ada punca dan kesannya.

Bosan dan jemu. Itulah ungkapan dari hujung bibir ramai sejak-semenjak ini dek sekatan pergerakan yang dikuat kuasa pihak pemerintah dan kerajaan banyak negara. Sama ada ia dipanggil Circuit Breaker di Singapura, atau Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia, seantero dunia seolah-olah membina benteng halimunan akibat pandemik COVID-19.

Bertalu-talu siaran di lelaman media sosial yang menyuarakan lelah dan penat mereka yang bukan kepalang. Mengapa tidak? Ramai orang dewasa yang bekerja dari rumah perlu juga menguruskan hal ehwal seisi rumah daripada melangsaikan tugas pekerjaan, menyediakan makanan, dan memastikan anak sendiri di rumah terjaga. Keterbatasan interaksi bersemuka juga memayahkan lagi komunikasi antara pekerja mahupun pelajar. Apatah lagi pembangunan kendiri dan sosial anak-anak kecil berpaksikan interaksi sosial di sekolah. Setelah sehari suntuk menggalas bebanan tersebut, rasanya seolah-olah tidak bermaya dan berkudrat lagi untuk melakukan apa-apa.

Namun, kesibukan sepatutnya membuahkan kesyukuran. Walaupun kepenatan kerana tidak cukup tangan, ramai di antara yang lain terjejas teruk dilanda kemelut pengangguran. Setidaknya, kesibukan di rumah bererti ada di antara kita masih ada pekerjaan. Bagi yang merasakan nasib tidak menyebelahi mereka, ketahuilah bahawa anda tidak keseorangan. Masalah penularan wabak COVID-19 masalah sarwajagat. Tiada seorang yang benar-benar terlindung daripada bahaya ini. Kalau tidak bahaya virus COVID-19 menjejas periuk nasi kita, boleh jadi bahaya kesihatan mental ataupun risiko kehilangan tempat bergantung.

Sama ada kita benar-benar dalam kerugian atau keuntungan sangat bergantung pada pemikiran kita. Itu yang utama. Ternyata, pernyataan ini lebih mudah dilafazkan daripada di diamalkan. Dalam situasi ekonomi dan kesihatan dunia yang tidak menentu, ada beberapa cara kita boleh mengatasi masalah ini. Kita mesti percaya bahawa setiap sesuatu yang berlaku ada asbabnya. Percaya atau tidak, setiap peristiwa dunia yang berlaku ada punca dan kesannya. Seperti contoh, kegawatan ekonomi yang berlaku sekarang petanda bagi kita untuk merekayasa semula kemahiran kita supaya ia seiring dengan peredaran zaman. Dari situ, barulah kita dapat lihat kemajuan lantas membezakan diri antara yang berazam ataupun tidak. Sudah menjadi fitrah dan lumrah manusia, kita hidup saling bersaing. Pembawaan ini sudah termaktub berkurun lamanya dari zaman batu hingga ke hari ini. Apa yang penting, sebagai individu bertamadun, persaingan itu sebaiknya membuahkan hasil yang positif dan membina seperti persepakatan atau pertukaran idea.

Setelah menetapkan pemikiran yang positif sebegitu, barulah kita boleh mula mengusahakan sesuatu. Ia boleh bermula dari rumah. Lakarkan perancangan dalam benak kita. Selama ini, kita mungkin mengeluh kerana tidak berkesempatan untuk melakukan sesuatu yang kita idamkan seperti memulakan bisnes dari rumah (tidak semestinya menjual makanan sahaja tahu), meluangkan masa senggang bersama anak-anak (hendak ke mana lagi kalau semua sudah terperap di rumah?) atau mengusahakan projek peribadi. Mengapa tidak ambil kesempatan ini? Kemungkinan besar, kita akan dapati bahawa kebolehan kita itu keperluan orang lain. Seperti contoh, kemahiran anda mengekod boleh jadi keperluan perniagaan baharu untuk memberbaik khidmat mereka. Atau, masa ini boleh diluangkan untuk merombak semula perkakas dapur atau bahan ilmiah yang boleh diderma dan dibaik guna oleh mereka yang memerlukan. Manalah tahu dengan itu, si penerima dapat membantu diri kemudian menyumbang kembali kepada masyarakat kelak.

Dalam keadaan darurat sebegini juga ia menguji daya tahan kita dalam membuat perancangan sumber masa, wang dan tenaga dengan teliti. Kemahiran ini sukar untuk disemai pada waktu senang kerana ramai yang berpendapat mereka mempunyai banyak masa senggang, kuasa membeli yang kuat dan pengagihan tenaga yang fleksibel. Hanya dengan kesulitan seperti yang kita hadapi sekaranglah kita boleh uji pandu diri kita untuk berjimat dan berhemat dalam menangani masalah. Mudah-mudahan, kalau ia berlaku lagi, kita tidak akan berasa terkejut mahupun terikat. Misalnya, kalau kita belajar mencatu bekalan makanan dan simpanan wang yang kita ada sekarang, harap-harap kita tidak terperanjat lagi dengan perubahan mendadak. Kita akan tahu bagaimana kita patut mengurus segala apa dalam lokus kawalan kita andai kata malapetaka menimpa. Bukanlah kita mengharapkan bencana namun, kesediaan untuk hari muka mesti dijadikan kebiasaan. Malang sememangnya tidak berbau.

Adalah satu penipuan jika dikatakan saranan-saranan ini mudah dilaksanakan. Ia memerlukan modal, tekad, dorongan diri dan sokongan orang sekeliling kita. Dapatkan bantuan kalau perlu. Pada saat-saat sebegini, banyak negara yang mengeluarkan rizab dan melaksanakan perancangan sandaran untuk menampung sara hidup penduduk merena dan memberi sokongan moral sekalian rakyat. Selain daripada mengharap, kita juga mesti berusaha. Semoga kita diberi iltizam yang kuat, daya tahan, dan daya bingkas untuk menempuhi dugaan ini.