Categories
Rencana

Celik Kewangan Sebagai Penduduk Negara Maju

Cabaran sara hidup bagi penduduk negara maju sememangnya masalah rentas usia.

Sediakan payung sebelum hujan. Pepatah ini tidak sepatutnya lekang dalam fikiran kita lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi moden yang kian mencabar. 

Acapkali kita menyoal diri kita sendiri, mampukah wang simpanan kita bertahan seadanya? Hutang keperluan di keliling pinggang, kenaikan harga barangan dapur meningkat dan biaya pendidikan pun cukup menggerunkan. Dalam kalangan kita, pasti ada yang sudah mula bekerja sambilan sewaktu meniti alam persekolahan dan yang dewasa pula pasti terlibat dalam kerja sambilan sebagai pemandu pengangkutan kongsi ataupun penunggang penghantaran makanan sebagai pendapatan tambahan.

Cabaran sara hidup bagi penduduk negara maju sememangnya masalah rentas usia.

Setelah membayar bil, kita pasti tertanya-tanya ke manakah melayang duit yang dikumpulkan selama ini? Kita pasti ingin tahu buah-buah fikiran yang sesuai untuk memaksimakan setiap dolar dibelanjakan. Bagaimana kita masih boleh berhibur dan berlibur sambil berjimat? Bagaimana kita boleh melaburkan wang kita?

Kalau cakap tentang duit bunga, tentu timbulnya hal etika dan syarak. Hakikatnya, konsep perlaburan merangkumi aspek yang sangat meluas dan menjadi amalam perniagaan sejak berkurun lamanya. Dengan ini, amat diharapkan ia dapat membuka minda anda apakah erti penjimatan dan perlaburan.

Sebagai langkah permulaan, kita mesti tinjau perbelanjaan bulanan kita. Tanya diri sendiri, apakah perbelanjaan keperluan kita, itulah yang akan menjadi perbelanjaan bulanan tekal kita. Seperti contoh bayaran bil telefon bimbit, yuran sekolah dan bil elektrik merupakan perbelanjaan yang tidak dapat dielakkan. Bagaimana kita boleh menjimatkan biaya bulanan kita seadanya?

Ambilah kesempatan kawalan pergerakan sewaktu penularan wabak COVID-19 ini sebagai waktu yang sesuai untuk menyenaraikan mana satu keperluan dan mana satu kemahuan. Dalam keadaan darurat dan genting sebegini sepatutnya membuat anda berfikir dengan kritis.

Contohnya, bil elektrik dan telefon bimbit tentu keperluan kerana tanpa ia, dapur tidak berasap, kebersihan tidak terjaga, dan perhubungan dengan dunia luar pasti akan terjejas. Lebih-lebih lagi ramai yang bekerja dari rumah, sama juga pelajar. Penting bagi kita untuk mengekalkan komunikasi antara sahabat-handai dan saudara-mara. Sememangnya kita makhluk sosial yang memerlukan teman perbualan.

Apakah itu kemahuan? Wahai pembaca, kalau sesuatu barang yang ingin dibeli itu diniatkan untuk diperlaga-lagakan, kemungkinan besar itu hanyalah kemahuan. Berdasarkan teori ekonomi ‘marginal utility’ yang diistilahkan sebagai ‘utiliti sut’, kepuasan yang dinikmati daripada mendapatkan sesuatu pada suatu waktu akan terhenti. Tidak hairan kalau ada dalam kalangan kita kalau sekali menunjuk-nunjuk, tidak akan berhenti dari situ. Lantas, menjadikan mereka ketagih terhadap kepuasan itu lalu menimbulkan sifat-sifat negatif.

Kesimpulannya, fikirkan kalau dalam jangka masa panjang ia membantu dalam pembangunan peribadi dan masa hadapan kendiri.

Selanjutnya, siapkan sistem penabungan. Ini bermaksud, reka sebuah sistem peribadi di mana wang yang kita dapat setiap bulan itu dagihkan kepada beberapa bahagian tertentu. Fahamkan bahawa tidak semua mempunyai keutamaan hidup yang sama. Ia berbeza bagi setiap orang atas beberapa sebab seperti keupayaan luar kawalan dan tuntutan peribadi.

Setelah mengira jumlah minimum pendapatan anda, bahagikan mengikut nisbah (ratio) perbelanjaan. Sebagai panduan, banyak penulis dan konsultasi kewangan menyarankan kita untuk simpan 50% daripada pendapatan kita sebelum mebahagikan bakinya kepada tabung-tabung tertentu.

Seperti contoh, kalau sebulan kita dapat $1000, $500 sepatutnya disimpan dan tidak disentuh. Dalam setahun, ini terkumpul menjadi $6,000 dan boleh digunakan sewaktu kegawatan ekonomi atau keperluan mendadak. Baki $500 pula dibahagikan kepada kategori seperti bil telefon dan elektrik, tabung amal dan duit tambahan kepada orang tua kita, selebihnya boleh digunakan untuk hiburan.

Pucuk pangkalnya, kita utamakan keperluan membayar apa yang perlu dan simpan wang untuk hari muka. Selebihnya baru digunakan untuk apa-apa yang remeh.

Butiran terakhir merupakan sesuatu yang amat sensitif iaitu hal perlaburan. Perlaburan dapat membawa bahtera simpanan kita keluar dari pelabuhan. Hakikatnya, wang simpanan kita tidak membawa apa-apa faedah kerana kadar inflasi yang lebih pesat. Segala simpanan kita diibarat bekalan di sebuah kapal kehidupan kita. Jika tidak dirancang dengan baik, ia dapat mengaramkan atau mengandaskan kehidupan kita. Ingatlah bahawasanya pendapatan kita hari ini tidak setara nilainya beberapa tahun kelak. Oleh itu mustahak untuk kita mengemudi gelora inflasi yang membadai. Kalau tidak berlatarkan pembelajaran bidang kewangan, itu tidak sepatutnya menjadi satu halangan untuk tidak melabur wang.

Ada beberapa cara perlaburan yang cermat, selamat, beretika malah menepati hukum bagi pelabur Muslim. Seperti contoh, banyak instrumen perlaburan yang patuh shariah yang ditawarkan institusi kewangan. Kita hanya perlu membuat sedikit pencarian dalam talian untuk mendapatkan maklumat. Hakikatnya, produk kewangan patuh shariah juga dibeli segelintir pelabur bukan Muslim sebagai sandaran kerana risiko perlaburan yang rendah akibat tanpa unsur spekulasi. Walaupun pulangannya tidak selumayan yang diidamkan sesetengah orang, yang penting, perlaburan itu mendatangkan pulangan yang konsisten.

Tekalkan penjimatan, bekalkan pengetahuan dengan melabur wang dan waktu dalam pendidikan seperti menghadiri kelas-kelas, membaca makalah atau buku ilmiah yang dapat membuka minda kita tentang dunia luar. Dengan mengetahui hal ehwal semasa terkini, kita dapat buat perancangan sewajarnya.

Tamsilnya, kalaulah di dada akhbar dilaporkan bahawa harga hartanah meningkat pada tahun ini, kita boleh fikirkan kalau itu masa yang terbaik untuk membeli rumah baharu ataupun ia waktu yang sesuai untuk menjual rumah yang kita diami. Kalau laporan semudah itu dapat memberi kita masa untuk bertindak balas, apatah lagi tentang perkara makro lain yang dapat menjejas kehidupan seharian kita seperti import bekalan makanan ruji yang boleh terjejas akibat kemarau di luar negara?

Dalam penukaran maklumat dan data yang kian pesat dan pantas tanpa selindung, ia sepatutnya mendorong kita mendapat tahu hal ehwal dunia, negara dan masyarakat. Bukan sekadar sohor kini TikTok dan Snapchat! Tidak dapat dinafikan aplikasi beritkut sangat mengasyikkan. Pucuk pangkalnya juga bergantung pada apa yang diikuti kita. Dengan menyerap informasi semasa, kita bukan sahaja dapat meninjau perlaburan yang sesuai. Malah membuat kewajaran bagi setiap pilihan hidup dengan bernas.

Dalam siaran ini, ambilah patinya. Intihanya, sebelum merogoh kocek, tepuk dada, tanya selera. Akankah sesuatu kita memperoleh akan membantu kita dalam jangka masa panjang? Semoga bermanfaat buat semua! Sehingga bertemu lagi dalam siaran yang akan datang.