Categories
Rencana

Tip-tip Belajar

Mari kita mengamati bersama bagaimana kita boleh bersiap siaga untuk pembelajaran dari rumah dan peperiksaan pertengahan tahun, mahupun peperiksaan kebangsaan GCE Peringkat Biasa.

Selamat sejahtera para pembaca. Terima kasih kerana tegar mengikuti blog rasmi Armada Minda. Kali ini, kita akan meliputi topik yang sangat dekat di hati kita. Memandangkan keadaan darurat COVID-19, sekolah-sekolah di merata rantau ini lebih-lebih lagi Singapura ditutup demi kemaslahatan masyarakat umum.

Maka, mulalah pembelajaran dari rumah dalam talian. 

Bagaimana pembelajaran dari rumah? Dengar macam seronok bukan? Namun, ia tidak semudah itu bagi guru-guru mahupun pelajar seperti anda. Disebabkan ramai masih belum menyesuaikan diri dengan keadaan ini, memang tidak dapat dinafikan, sukar untuk memberi tumpuan. Pasti timbul pelbagai selingan seperti ralat teknikal dan tuntutan tanggungjawab berada di rumah seperti mengemas rumah dan sebagainya. Jangan risau, bukan anda sahaja yang menghadapi kesulitan ini.

Namun sebagai pelajar, kita pasti ingin memberikan yang terbaik. Oleh itu, kita akan bincangan tip-tip pembelajaran dengan harapan ia dapat membantu anda memberi tumpuan dan mendapatkan yang terbaik daripada kaedah pembelajaran dari rumah. Lebih-lebih lagi, peperiksaan GCE Peringkat Biasa Bahasa Melayu kian menjelang seiring dengan peperiksaan pertengahan tahun.

Mari kita mengamati bersama bagaimana kita boleh bersiap siaga untuk pembelajaran dari rumah dan peperiksaan pertengahan tahun, mahupun peperiksaan kebangsaan GCE Peringkat Biasa.

Pastikan kesemua alat tulis dan peranti elektronik mustahak untuk pembelajaran berfungsi. Untuk penulisan, disarankan anda menggunakan pena bebola agar tidak mudah trercalit dek peluh atau air yang tertumpah di atas tugasan atau nota yang ditulis. Dapatkan pensel mekanikal agar mudah menulis dengan kemas dan gunakan pemadam lembut untuk pembetulan. Bab pena penyerlah, banyak di pasaran kini menjual pena penyerlah yang boleh dipadam. Ia amat sesuai dan mudah untuk penyerlahan lebih-lebih lagi dalam mata pelajaran kemanusiaan seperti Ilmu Alam, Sastera ataupun Sejarah. Dalam hal peranti elektronik, pastikan fon kepala berfungsi dan sambungan Wi-Fi stabil. Tutup semua tetingkap yang tidak diperlukan seperti aplikasi sosial dan lelaman hiburan.

Sewaktu peperiksaan, sangat ditegaskan anda tidak menggunakan pena yang boleh dipadam. Bukan sahaja ia dilarang, malah boleh membawa masalah kepada penyemak. Bayangkan jika tulisan anda terpadam setibanya di pangkuan penyemak. Kalkulator dan kamus elektronik pula, pastikan berbateri atau dicas sepenuhnya. Ingatlah bahawasanya alat tulis itu senjata di medan perjuangan peperiksaan. Tidak berguna ilmu di dada kalau tidak dapat ditulis di dalam kertas jawapan,

Sebelum belajar, pastikan bahan ulang kaji tersedia supaya tidak tergopoh-gapah atau tercari-cari di manakah ia. Kalau pasti sesuatu nota hilang, dapatkan gantinya segera. Seperti contoh, senarai formula pelajaran Kimia atau senarai Peribahasa yang perlu difahami dan dihafal sebaiknya ada untuk diri sendiri dan bukan dipinjam daripada rakan sekelas. Empunya senarai pula, berwaspada kalau meminjamkan nota kepada kawan takut-takut kalau nota itu akan dihilangkan. Pastikan kesemua nota dan buku diisih mengikut mata pelajaran.

Ramai guru menasihati kita untuk memulakan ulang kaji bagi pelajaran yang paling sukar bagi anda. Ada pula memberi saranan yang sebaliknya. Sejujurnya, ini mengikut cita rasa dan strategi anda. Pucuk pangkalnya, pastikan anda mempunyai waktu yang mencukupi bagi setiap subjek. Setelah menyediakan bahan pelajaran, barulah mudah untuk kita ringkaskan apa yang kita sudah ketahui lalu fokus pula kepada apa yang masih memerlukan perhatian. 

Senaraikan pertanyaan supaya fikiran tidak bercelaru. Bagi setiap topik atau bahagian peperiksaan yang akan diuji, kita pasti akan menghadapi kesulitan dalam memahami sesuatu dengan mendalam. Dengan menyenaraikannya, kita tidak akan menanyakan soalan yang sama berulang-ulang dan dapat membuat soalan susulan daripada apa kita telah fahami. Tamsilnya, dalam bahagian pemahaman, ada beberapa jenis soalan yang memerlukan perbandingan berserta bukti. Kalau sudah ada perbandingannya dan tidak dapat bukti yang kukuh, maka itulah yang akan menjadi soalan susulan anda untuk ditanya kepada guru.

Tepuk dada, tanya selera. Kenal pasti kalau anda ingin swabelajar, belajar bersama rakan, atau bepandukan guru atau tutor? Tidak semua mata pelajaran mempunyai kaedah dan cara pembelajaran yang sama. Bagi subjek yang anda mahir, mungkin anda boleh swabelajar manakala yang lemah, boleh mendapatkan bantuan tutor. Kalau biaya tutor menjadi halangan, dapatkanlah bantuan guru dengan merancang dengan guru tersebut waktu yang sesuai untuk berjumpa. Mungkin, kita tidak begitu serasi dengan seseorang guru tersebut, tiada masalah dalam mendapatkan bantuan daripada guru yang lain. Guru itu pula tidak sepatutunya rasa terkilan dengan hal tersebut kerana memang hakikatnya kita tidak boleh serasi dengan semua orang. Apatah lagi pelajar yang mendewasa yang mempunyai pendapat yang berbeza terhadap sesuatu. Oleh itu, kita sebagai pelajar dan guru mestilah bersifat terbuka dalam mencapai visi yang lebih meluas dan bermanfaat bagi pelajar itu dalam jangka masa panjang. 

Terakhir sekali, jagalah diri dari segi kesihatan menyeluruh. Tiada yang lebih baik daripada tubuh dan jiwa yang sihat. Orang-orang tua kata, badan cergas, otak cerdas. Janganlah terlalu taasub dengan pembelajaran sehingga kita abaikan pemakananan yang sihat, kegiatan aktif dan kerohanian. Pemakanan yang bergizi dan berzat membantu memberi tenaga yang berpanjangan. Buah-buahan, sayur-sayuran dan segala makanan segar yang mudah dicerna mengelakkan kita daripada rasa kantuk selepas makan. Makanlah berpada-pada. Jangan lupa minum air yang mencukupi. Kalau rasa mudah jelak, tambahkan dengan perisa Vitamin C atau sirap. Pucuk pangkalnya, kita minum air secukupnya. Kegiatan aktif pula menyalurkan segala zat dan vitamin yang kita ambil ke dalam setiap sel tubuh kita termasuk otak. Tidak dapat dinafikan, anda akan berasa penat. Kalau begitu, dapatkan rehat yang secukupnya. Kegiatan rohani pula termasuklah berdoa untuk mendapatkan ketengan minda setelah berusaha. 

Kesimpulannya, persediaan untuk belajar bukan sahaja dengan menatap buku selama-lamanya. Malah, ia merangkumi aspek yang lebih meluas seperti persediaan perkakas pembelajaran, menjalin hubungan dengan guru-guru dan rakan-rakan, dan menyeimbangangi antara kejayaan pembelajaran dan kerohanian. Setelah semua berada dalam keadaan yang seimbang, barulah kita dapat merasai kecemerlangan hidup.

Semoga entri ini bermanfaat buat anda. Jangan lupa kongsikan dengan kenalan anda. Topik apakah yang anda ingin Armada Minda bincangkan? Hubungi kami melalu lelaman rasmi Armada Minda. Sehingga bertemu lagi. Terima kasih daun keladi.