Categories
Rencana

Manfaat-manfaat Berjoging

Hari ini, kita akan bincangkan manfaat-manfaat berlari-lari anak, ataupun dikenali hari ini sebagai berjoging.

Selamat sejahtera semua! Selamat membaca blog Armada Minda. Tujuan kami adalah untuk membincang dan berkongsi hal ehwal semasa yang diharapkan dapat menjana daya pemikiran anda. Hari ini, kita akan bincangkan manfaat-manfaat berlari-lari anak, ataupun dikenali hari ini sebagai berjoging.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, patutkah kita bersenam? Waktu bekerja mula dari pagi ke petang. Mana hendak uruskan diri untuk keesokan hari, makan malam, luangkan masa bersama keluarga dan sebagainya, manakan ada masa untuk ke gim mahupun taman berdekatan. Ketahuilah, berjoging, banyak manfaatnya. Setidaknya luangkan setengah jam setiap hari sepertimana yang disarankan pakar atau doktor anda.

Sudah tentu ramai yang tahu manfaat yang tidak perlu dipertikaikan lagi. Ia membakar lemak, melalui suhu panas badan ketika kita berlari. Kesemua keringat yang terperah dari leliang kulit kita, bukan sahaja membakar lemak malah mebersihkan liang-liang kulit kita. Kalau inginkan kulit yang lebih bersih, berjoginglah. Ada kajian yang menunjukkan bahawa kesan ini dapat dilihat kerana pergerakan darah yang lebih deras dan peningkatan oksigen dalam sel kita. Itulah yang memberi seri pascabersenam yang anda lihat dalam kalangan mereka yang kelihatan merah-merah udang selepas berjoging.

Selain daripada manfaat kesihatan kulit, ia juga baik untuk kesihatan tulang. Tidakkah kita perasan bahawa gaya hidup kita kini tidak memerlukan banyak pergerakan? Lebih-lebih lagi bagi mereka yang bertugas di dalam pejabat. Jangankan kurang pergerakan, matahari pun kadang tidak terlihat dek terkurung di dalam ofis. Apa pun, setiap kali kaki kita menginjak pada sawat injak (treadmill) ataupun balapan, secara tidak langsung, kita mengingatkan kaki kita bahawa, ia mesti mampu menampung berat badan kita. Lantas, ia mengingatkan otot-otot dan tulang kaki akan tubuh badan kita dan mampu menyesuaikan sendi untuk tubuh kita. Kalau anda tertanya-tanya mengapa kita sering mengalami kaki lenguh walaupun tidak berdiri lama, gaya hidup tidak aktiflah puncanya. Menurut kajian sains, sewaktu sesorang berjoging, dia akan mengaktifkan otot-otot kaki seperti hamstring, betis, dan paha. Natijahnya, ia membina kekuatan kaki dan daya tahan menyeluruh.

Setakat di sini sahaja manfaat-manfaat berjoging selain sebagai senaman menguruskan badan. Ingatlah kalian, badan cergas, otak cerdas. Kalau hendak memperbaik daya fikir, mesti juga amalkan gaya hidup aktif selain daripada belajar dan menelaah! Sehingga bertemu lagi dalam blog Armada Minda!