Categories
Rencana

Kepentingan dan Kesan-kesan Positif Teknologi Hari Ini

Peralihan teknologi dewasa ini juga telah membuktikan bahawa ia dapat menjamin kelangsungan hidup bertamadun.

Ajukan sahaja soalan kepada sesiapa hari ini: Apakah maksud teknologi and ertinya dalam kehidupan mereka?

Pasti ramai akan memberi jawapan yang pernah terlintas dalam benak kelabu mereka. Sambungan Wi-Fi, 5G, kereta swapandu, penstriman digital, dan lain-lain lagi yang tercapai oleh tangan mereka.

Teknologi sebenarnya merangkumi aspek yang lebih meluas bergantung pada peredaran masa. Pernah tidak terlintas, peralatan rumah seperti peti sejuk dan mesin pembasuh, dan gantri automatik di tempat meletak kereta juga menggunakan teknologi khusus. Sama juga dengan kebanyakan tamadun yang sebelum ini mempunyai teknologi sesuai dengan masanya demi menjamin kelangsungan hidup mereka. Sepertimana yang diketahui, teknologi penyulingan air sewaktu empayar Rom menggunakan ilmu fizik, zaman purba Melayu berpedomankan ilmu falak dan ilmu alam berpandukan bintang dan angin lintang dalam pertanian dan pelayaran. Lalu, terciptanya perkakas tertentu untuk memanfaatkan pemberian alam.

Kalau dibandingkan, tekonologi yang kita ada abad ini jadi tidak jauh bezanya dengan zaman-zaman sebelum ini. Penggunaan bahan bakar seperti batu arang dan hablur cecair ialah gambaran persamaan ini. Justeru, kita patut menyetujui bahawa teknologi yang kita nikmati hari ini ialah hasil timbunan pengetahuan yang terkumpul selama ini, diadun dengan penyelidikan moden yang jitu.

Ini bermakna, kemungkinan, dalam jangka masa sedekad dua mendatang, teknologi yang kita katakan terkini hari ini, akan tersingkir dek kedaluwarsaan terus pupus dan tandus daripada ingatan.

Tunjukkan sahaja cakera padat kepada anak-anak zaman ini, mereka pasti akan tertanya-tanya, apakah itu? Kebanyakan daripada cakera padat pun telah dikitar semula sebagai hiasan pemantul cahaya untuk menghalau burung-burung liar di tempat-tempat makan. Pengeluaran cakera padat yang sebelum ini menjadi pita keluaran penerbit-penerbit lagu dan filem telah digantikan dengan wadah pengedaran alternatif seperti penstriman digital dan pembelian dalam talian.

Manfaatnya dapat dilihat dalam banyak aspek seperti penjimatan ruang persimpanan fizikal, kemudahan pengedaran bagi penerbit dan pengalaman yang lebih peribadi bagi pengguna akhir. Namun adakah manfaat perubahan ini terbatas dalam beberapa bidang sahaja? Mari kita jelajahi kepentingan dan kesan-kesan positif perubahan teknologi.

Pembawaan teknologi adalah untuk mempercepatkan kerja. Kerja-kerja manual dan tugas yang mempunyai tatacara yang rumit, telah menjadi mudah tanpa perlu banyak fikiran di samping menjimatkan masa.

Dengan adanya teknologi elektronik dan digital, ia telah memperbaik produktiviti kita dalam menjalankan rutin harian dan dapat mengagihkan tumpuan kepada perkara yang lebih genting. Sebelum terciptanya teknologi tersebut, banyak tenaga manusia diperlukan untuk menghasilkan sesuatu. Baik pentaksiran secara manual atau pemasangan sesuatu alat dengan kedua belah tangan, kerja sebegitu kini hanyalah kenangan semata-mata dengan adanya perisian komputer dan pemprograman robot yang berupaya berbuat sedemikian dengan lebih cepat dan tepat.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, alat pembersih vakum menggunakan wayar dan memerlukan penggantian beg habuk setelah ia penuh. Kini, dengan hadirnya Internet of Things (IoT), pasaran peralatan rumah telah menawarkan alat pembersih vakum automatik yang boleh disambungkan kepada sambungan Wi-Fi lalu dikawal dari mana-mana sahaja melalui aplikasi telefon bijak. Bagaimana ia memudahkan dan mempercepatkan? Bayangkan sahaja kita berada di tempat kerja, kita sudah tidak perlu lagi risaukan sangat tentang rutin pembersihan rumah yang memakan masa kerana pembersih vakum automatik tersebut berdaya untuk melangsaikan tugasnya siap dengan fungsi swabersih. Kita juga boleh menjadualkan alat itu untuk berfungsi setelah kita keluar dari rumah agar kita dapat pulang ke rumah yang lebih bersih. Boleh dibidas bahawa alat sebegini tidak dapat membersihkan serapi pembersihan sendiri. Namun, setidaknya, ia dapat melakukan apa yang ringkas seandainya kita terlalu penat setelah sehari suntuk membanting tulang bertugas. Kalau sudah kelelahan, manakan terlarat membuat tugas ringkas?

Oleh itu, kita tidak dapat menafikan bahawa perubahan teknologi penting sebagai komplemen dan pelengkap kehidupan kita. Seiring dengan kehendak semasa, perubahan pesat ini telah membantu kita menjimatkan waktu. Sesungguhnya, masa itu emas.

Di samping itu, perubahan teknologi marcapada ini juga dapat meningkatkan mutu kerja and kecekapan pengguna. 

Suatu penghasilan setentunya memerlukan campur tangan manusia dan kadangkala, hasilnya tidak konsisten akibat ralat dan ia mendepankan seseorang dengan cabaran atau dilema yang dapat menjejas orang lain, atau membawa kepada kesan yang buruk. Dalam konteks bisness pula, produk dan khidmat yang tekal bermutu pula menjamin keterampilan yang positif terhadap hasil pengeluaran, langsung membina nama baik penjenamaan.

Umpamanya dapat dilihat dalam bidang pertukangan yang memerlukan kepersisan yang tepat dan terperinci. Hakikatnya, tidak semua doktor, jurutera, tukang, mahupun sesiapa sahaja mempunyai kederdasan intelek dan emosi yang seimbang selalu. Barangkali, satu hari itu bukanlah hari yang terbaik untuk seorang tukang memegang sebilah gergaji kerana jiwanya mungkin berkecamuk walaupun pada zahirnya dia tampak tenang. Api amarah yang tercetus boleh membuat tukang tersebut mengamuk kemudian menggunakan apa yang ada dalam tangannya sebagai senjata lantas mencederakan orang lain dan paling kurang, menjejas mutu kerjanya. Dengan kepersisan laser dan kecerdasan buatan, seseorang petugas itu tidak perlu lagi memerah tenaga dan bersusah payah. Dia hanya perlu mengawal mesin dari ruang konsol untuk mengendalikan mesin pemotong tersebut, tanpa risiko mencederakan diri mahupun orang lain. Tambahan lagi, dengan kepersisan laser, hasil potongannya juga akan menjadi standard dan berkualiti. Ia dapat merapikan lagi pembinaan terus merealisasikan ilham jurubina dan pereka yang pasti mempunyai harapan yang tinggi terhadap hasil reka ciptanya.

Oleh sebab itu, tidak hairanlah kecerdasan buatan dan kepersisan laser telah menjadi ramuan utama baik dari segi penambahan nilai estetik kepada pembinaan mercu-mercu tanda, ataupun penentuan penggalian terowong yang bertembung. Ternyata, perubahan teknologi sebegini telah membawa manfaat yang sangat dinamik.

Perombakan teknologi juga telah menjadi perlu dalam meniti arus kemodenan demi membasmi gejala jenayah. Dengan perkemasan teknologi terkini, kita dapat mengelak, melawan dan membanteras individu atau organisasi gelap yang mempunyai tujuan hasad.

Sebelum ini, banyak berita yang tular di dada-dada akhbar dek penggodaman dan pencerobohan data di mana, penjenayah identiti semakin licik dalam menjalankan modus operandi mereka. Biasan ironi ini menjadi satu tamparan hebat kepada institusi-institusi gergasi yang sebelum ini menjanjikan keutuhan sistem keselamatan mereka. Sebagai peleraian, macam-macam langkah perlu diambil oleh pengguna akhir sekarang selain daripada memberi pengesahan utama.

Seperti contoh, terdapat mesin teler automatik di beberapa cawangan bank yang menggunakan pengimbas biometrik kerana pangkalan data mereka tersimpan rakaman wajah dan cap jari pelanggan bank tersebut. Dengan itu, ia menjadi galang ganti khidmat bersemuka. Malah, pencerakinan mesin itu juga dapat menjamin keselamatan transaksi dengan mengelak penyamaran identiti disebabkan pengesahan biometrik yang sukar dijiplak. Dalam hal keselamatan sempadan, kaunter-kaunter imigresen juga menggunakan teknologi yang serupa untuk tujuan yang sama selain daripada memastikan ketulenan passport pemiliknya. Fungsi ini kemudian mampu disepadukan dalam sistem kamera lita tertutup untuk memantau tempat-tempat awam. Sementelah, sistem tersebut juga boleh diadun dengan kebolehan pengecaman identiti seseorang malah dapat digunakan untuk mengukur suhu badan sesorang untuk menglak perebakan wabak.

Natijahnya, penyatuan sistem sebegini membantu dalam pencegahan jenayah, dan pengesanan awal dalam membendung perebakan wabak. Ia telah membina satu tonggak keselamatan yang lebih menyeluruh dan ampuh tanpa menimbulkan kebingungan antara sistem yang cacamarba.

Peralihan teknologi dewasa ini juga telah membuktikan bahawa ia dapat menjamin kelangsungan hidup bertamadun. 

Negara-negara makmur dan terkedepan akan berdepan dengan kekurangan kelahiran bayi dan kemerosotan penduduk akibat pemastautinan mereka ke negara-negara yang lebih dimampui. Sudah menjadi fitrah manusia, di mana ada gula, di situlah ada semut. Di negara-negara maju, adalah lumrah pembangunan iktisad mahupun kadar kelahiran akan sampai ke tahap mendatar. Demi menjamin kestabilan pasaran buruh, perubahan teknologi telah mengatasi belenggu kekurangan buruh.

Ini sangat menonjol di negara-negara maju yang bersandar pada automasi dalam pengeluaran domestik. Ternyata, ada jenama-jenama domestik yang sangat terkenal dengan buatan automatik yang bermutu sampaikan ia mempunyai keluaran lebihan untuk dieksport. Lantas, menjadi sebuah ekonomi yang mampu bertakat dan bersaing dalam pasaran massa.

Perubahan teknologi juga telah menunjukkan pertanian menegak mampu menjadi kenyataan dengan penghasilan makanan yang mampan bagi negara-negara kecil kerana tidak mempunyai tanah perladangan yang meruah. Setidaknya, sekarang dengan penggunaaan bangunan bertingkat beraduk pengkajian sel tunjang, pengawalan suhu dan penggunaan cahaya ultraungu, pertanian dalam bangunan tidak akan digugat perubahan cuaca mendadak dan boleh dijadikan sebagai alas seandainya rantaian bekalan terjejas oleh perdagangan dan perhubungan antarabangsa. Kita juga harus celik agar tidak menjadi pelanduk dek angkara gajah-gajah yang berjuang.

Dalam rona yang berbeza, kita acapkali melihat negara-negara membangun terjejas teruk dibadai bencana alam. Negara-negara sebegini sudah merasai teguran alam dan bangkit semula dengan menguji kaji panel suria dan kincir angin untuk menjana elektrik. Ia dilakukan dengan harapan dapat menggantikan cara lapuk yang sudah tidak mampan seperti penggunaan bahan bakar dan pembinaan empangan yang mengakibatkan kerosakan alam dan pengorbanan nyawa. Walaupun peralihan kepada tenaga hijau masih belum memberangsangkan, usaha sekecil zarah pun patut diterima baik memandangkan pemindahan tekonogi memakan kos prasarana yang tinggi.

Di negara-negara besar, penyesuaian teknologi juga dapat menyelamatkan jiwa. Dengan adanya satelit yang dapat memantau pergerakan awan dan plat tektonik, taufan dapat diramal, puting beliung dapat ditinjau dan amaran tsunami dapat diberi kepada penduduk yang terdedah kepada risiko malapetaka untuk mencari jalan keluar sebelum terlambat. Satelit juga telah membantu dalam penyampaian amaran melalui mesej pesanan ringkas seandainya sesorang itu di dalam lingkungan kawasan berbahaya lantas memberi waktu tindak balas.

Tamsilnya, seseorang mungkin akan memandu ke arah kawasan kebakaran hutan. Penjejakan lokasi peranti bijak dapat memberi pemberitahuan kepada pemandu tersebut untuk melencong agar tidak terperangkap dalam bencana itu. Pengimejan satelit juga telah membantu perancangan bandaraya untuk memastikan pengaliran udara yang berterusan di daerah-daerah bangunan tinggi yang lazimnya akan menjadi pulau haba bandar.

Jelaslah perubahan teknologi membantu mengharungi cabaran keterusan hidup dan mengelakkan manusia dibelenggu masalah perubahan iklim. Secara tuntas, kita dapat lihat bahawa perubahan teknologi moden banyak membantu dalam memastikan tamandun manusia kekal berterusan.

Masalah yang membelunggu dunia setahun dua ini juga telah membuktikan bawah teknologi berupaya mampu memberi impak positif dalam dunia pendidikan.

Berkurun lamanya penurunan ilmu dilakukan secara bersemuka di mana si penuntut menghadap sang guru. Dalam hal pendidikan, sekolah-sekolah dan institusi-institusi pembelajaran dibina untuk memuaskan permintaan semasa. Sekolah-sekolah kini menjadi medan pertemuan kanak-kanak untuk bergaul dan bermain di pekarangan yang selamat selain daripada menjadi tempat menimba pengetahuan. Intitusi pengajian tinggi pula sudah melampaui kehendak penuntut dengan membuka gerbang kepada rangkaian hubungan yang berguna dalam dunia korporat dan perindustrian. Malangnya, wahana sebegini kelihatan tidak lestari dengan kekelaman bencana wabak dan pergelutan politik.

Seperti yang tergambar sewaktu wabak SARS dan COVID-19, gubahan tersebut dapat mendedahkan penuntut kepada risiko jangkitan seandainya bersemuka. Apatah lagi kalau ramai pelajar datang berduyun-duyun dan bertandang di dewan kuliah untuk syarahan berjam-jam lamanya? Bagaimana pula dengan rusuhan yang berlaku di beberapa negara yang memaksa pihak pemerintah atau kerajaan mereka menguatkuasakan sekatan pergerakan? Adakah nadi ekonomi seperti ini terputus serta-merta, walhal pendidikanlah satu-satunya cara seseorang individu itu akan menjadi bena tentang hal dunia sekelilingnya?

Selaras dengan itu, kehadiran teknologi digital dan sambungan internet yang serba pantas hari ini telah memudahcarakan penghayatan ilmu. Digitalisasi telah banyak mengubah kaedah penyampaian dan pendalaman yang kita kenali selama ini. Industri pendidikan telah beralih ke arah masyarakat bebas kertas dengan menggunakan paparan skrin secara langsung kepada pelajar yang akan menggunakan peranti peribadi mereka sendiri. Ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan terhadap kertas dan mesin pencetak yang memerlukan masa untuk digunakan. Bahkan juga, memudahkan sang pendidik dan si pelajar untuk memuatnaikan bahan pelajaran yang boleh diedarkan secara langsung. Ia bukan sahaja mengurangkan kos, malah ekonomi skala dapat dilaksanakan tanpa pembaziran. Teknologi digital juga telah menjadi penggerak utama bidang pendidikan di mana pembelajaran dan pengajaran juga boleh dilakukan dari rumah. Tidak hairan jika pada masa mendatang, ia menjadi talian hayat bagi mereka yang tidak dapat hadir ke sekolah atas sebab-sebab tertentu.

Pembelajaran secara maya juga menyerlah pada saat-saat genting pandemik COVID-19 di mana pencapaian sijil sarjana muda menjadi batu loncatan yang kian perlu dalam persaingan dunia korporat.

Sehubungan dengan itu, bahan didik hibur juga telah bertunas bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Kebelakangan ini, kita dapat lihat banyak aplikasi menarik yang menggabungkan permainan dan pembelajaran dalam satu aplikasi. Ia menjadi bahan pembelajaran secara tersirat, dan lebih seronok kerana ia lebih interaktif. Jelas ia bertentangan dengan dogma bahawa permainan dalam talian memudaratkan daya pemikiran.

Kehadiran e-buku juga telah memanfaatkan pelajar yang tidak perlu tercari-cari jika sesebuah buku itu masih ada dalam stok atau tidak. Kadangkala, buku yang diperlukan pun hanya digunakan sepanjang satu hingga dua semester sahaja dan kemudian dihumban ke tepi jikalau tidak dijual sebagai barang terpakai. Itu pun, kemungkinan edisi terbaharu pula akan diterbitkan. Sistem pengurusan pembelajaran yang ada di pasaran telah banyak mengatasi masalah ini. Soalnya berpucuk-pangkal pada penuntut tersebut kalau hendak menggunakannya sebagai pemangkin penimbaan ilmu.

Benteng halangan kepada pendidikan semakin terhakis dikikis kemudahan teknologi mutakhir. Maka, rugilah mereka yang bersifat enteng daripada mencari walhal segalanya di hujung jari.

Pendek kata, manfaat teknologi moden sukar untuk dihitung, tidak mampu disenarai lebih-lebih lagi diselam dalam satu perbincangan. Yang penting, kita dapat lihat bahawa pembaharuan teknologi yang pesat telah memberi natijah yang tiada tara tandingnya. Sukar untuk kita bersikap tidak acuh akan perubahan ini. Kita juga suatu hari nanti harus fikirkan apakah mudarat yang mampu diasak akibat revolusi ini walaupun kini ia tampak membina. Ingat, kalau ia penawar, ia juga racun.