Categories
Rencana

Persiapan Penulisan Karangan Naratif GCE Peringkat Biasa

Harap maklum bahawa petua-petua ini hanyalah panduan semata-mata. Ia tidak menjamin seratus peratus dapat meningkatkan mutu dan gaya penulisan karangan naratif, lebih-lebih lagi dalam masa yang suntuk.

Memandangkan peperiksaan GCE ‘O’ Level kian menjelang, pasti ramai ingin tahu bagaimana mereka dapat memaksimakan masa beberapa minggu ini sebelum D-Day. Harap maklum bahawa petua-petua ini hanyalah panduan semata-mata. Ia tidak menjamin seratus peratus dapat meningkatkan mutu dan gaya penulisan karangan naratif, lebih-lebih lagi dalam masa yang suntuk.

Sepastinya sepanjang menuntut di sekolah menengah, anda telah dituntun di bawah naungan guru-guru yang bersijil, berwibawa, bertauliah lagi berpengalaman. Rencana ini hanyalah sebagai peringatan ulangan.

Pertama, pastikan cerita anda ditulis dengan lengkap. Serancu mana pun tatabahasa, kehendak soalan peperiksaan GCE ‘O’ selalunya jelas di mana ia meminta anda sebagai calon menulis sebuah cerita yang berpucuk pangkal dan memberi teladan. Jika tidak, manakan berguna memupuk nilai-nilai moral yang diterapkan dalam sukatan pelajaran sepanjang menuntut di sekolah menengah. Ini bermaksud, cerita tersebut seharusnya mempunyai permulaan dan pengakhiran yang tidak tergantung. Bagi pelajar yang lemah, elakkan daripada menulis babak tergantung (cliff hanger) kerana seringkali ia akan tampak seperti karangan yang tidak dihabiskan. Sebaiknya, berikan naratif yang berkesudahan. Seperti contoh, jika soalan peperiksaan meminta calon menulis sebuah cerita tentang persahabatan yang menghadapi cabaran, ia semoleknya ditutupi dengan bagaimana rintangan itu dileraikan sepagai penutup. Secara berseloroh, sesungguhnya calon tersebut tidak akan berpeluang untuk menulis babak kedua sebagai susulan bagi babak tergantungnya meskipun mahu mengambil semula peperiksaanya pada hujung tahun. Begitu pun, soalan tentu akan berubah.

Kedua, sewaktu peperiksaan, anda amat digalakkan menggunakan perkataan yang anda sudah tahu. Peperiksaan bukanlah waktu untuk mencuba sesuatu yang baharu. Kalau sekian lama anda tidak mencuba gaya penulisan atau kosa kata baharu dalam pelatihan karangan, bagaimana anda tahu bahawa teknik tersebut terbukti meningkatkan mutu penulisan? Ini dapat dilihat oleh penyemak bagi pelajar yang tidak tahu membezakan antara perkataan ‘degradasi’ dan ‘keruntuhan’ dalam konteks akhlak, di mana ‘degradasi’ berdasarkan kamus sepatatutnya digunakan dalam konteks bidang kimia, bukan sains kemasyarakatan. Maka itu, gunakan perkataan-perkataan yang mudah difahami, melainkan anda yakin bahawa perkataan itu membawa pengertian yang sebati.

Ketiga, kalau anda sedar bahawa anda seorang penulis yang lemah, sebaiknya amalkan penggunaan ayat-ayat pendek. Dalam Bahasa Melayu, ada empat pola ayat dasar di mana kalau diikut secara ketat, hampir sukar untuk disalahkan kerana ia rapi dan teliti. Tambahan lagi, pola-pola ayat dasar itu sepatutnya diyakini sewaktu penulisan kerana itulah pendedahan utama yang dititikberatkan oleh ramai guru Bahasa Melayu sewaktu mengajar pengolahan ayat yang gramatis. Dalam sukatan pelajaran, anda juga telah didedahkan kepada penulisan ayat songsang. Namun begitu, ia bukanlah keutamaan dalam penulisan ayat gramatis walaupun boleh menjadi ukur tara bagi ragam ayat yang pelbagai. Pengunaan ayat-ayat pendek berdasarkan pola ayat dasar juga akan memberi penulis masa-masa singkat untuk memikirkan jalan cerita yang koheren lagi lengkap. Kalau ayat itu perlu digabungkan, gunakanlah kata hubung yang sudah dibiasakan.

Bagi anda yang berkebolehan tinggi, penyematan peribahasa yang sesuai dan mengikut rentak cerita juga kadang-kadang boleh menyerlahkan lagi esei tersebut. Peribahasa, walaupun amat digalakkan, mesti mengikuti jalan cerita dan befungsi, bukan semata-mata untuk diada-adakan. Tamsilnya, kalau dalam cerita tersebut tertulis di mana watak utama memberi nasihat kepada rakannya namun tidak diendahkan, sesuailah kalau dibubuhkan ‘penat dia mencurah air ke daun keladi, masih tidak dipeduli nasihatnya’ di mana ayat tambahan itu memaparkan pemahaman intrinsik terhadap bidalan tersebut. Kalau anda seorang penulis yang lemah, usah berputus asa kerana penggunaan peribasa semudah ‘ringan tulang, berat perut’ walaupun dianggap asas di peringkat menengah, sepastinya akan dipertimbangkan. Yang penting, peribahasa yang digunakan sesuai dan efektif.

Ada juga dalam kalangan anda yang taasub dengan pengunaan kamus sewaktu menulis karangan. Nasihat ini hanya berlandaskan pengalaman pelajar-pelajar yang sudah lama diajar dan dituntun. Sebaiknya, kamus hanya digunakan untuk memeriksa kesesuaian imbuhan dan ejaan. Sebagai contoh, ‘pengajaran’, ‘pembelajaran’ dan ‘pelajaran’ merupakan kata terbitan yang membawa pengertian yang sangat berbeza. Kamus kaya dengan perkataan sinonim. Ada segelintir pelajar akan menjadi kemaruk dalam menggantikan perkataan untuk menepati kepelbagaian kosa kata. Kadangkala, ketaasuban itu boleh menyebabkan lagi kerancuan bahasa daripada menyerlahkannya.

Dalam pengurusan masa, pastikan masa secukupnya diperuntukkan bagi menyemak semula karangan anda. Sebagai panduan, anda boleh mempertimbangkan untuk memeriksa keselarasan lengkap, kemudian periksa kesesuaian imbuhan – di sinilah kamus bermanfaat, lalu singkap kalau ada apa-apa kosa kata yang boleh dinaiktarafkan atau peribahasa yang boleh diselitkan kerana mungkin terlepas daripada ingatan pada mulanya.

Yang utama, dalam penulisan karangan, penulis tersebut mestilah menikmati proses penulisan, dan menyukai jalan ceritanya sendiri. Elakkan daripada menghasilkan tema yang dianggap ‘gah’ atau ‘epik’ seperti cereka sains atau sejarah melainkan anda mengetahui istilah-istilah khusus berkenaan tema itu. Apakah ‘warplane’ dalam Bahasa Melayu? Apakah ‘spaceship’ dalam Bahasa Melayu? Pasti ada di antara anda yang mendapat inspirasi daripada novel-novel berbahasa Inggeris yang memaparkan tema tersebut. Namun, berdasarkan pengalaman, pelajar-pelajar lain pernah juga menulis jalan cerita mudah seperti kes meniru sewaktu ujian lalu dimarahi gurunya. Dengan penggunaan bahasa yang konsisten dan lancar, penulis tersebut tetap menepati kehendak rubrik dan cita rasa penyemak. Rungkaikanlah hasrat menulis cereka sains atau sejarah pada masa hadapan setelah lepas dari sekolah menengah, di mana ia pasti akan dihargai dan disanjungi pembaca-pembaca yang sehaluan fikiran.

Kalau pucuk dicita ulam mendatang. Manalah tahu, anda tulis sepucuk, dijadikan filem karang.

Dalam pada itu, renungkan. Semoga berjaya!