Categories
Rencana

Penghidupan Mesra Alam

Ternyata, kita telah beransur ke dunia dystopia disurami konsumerisme tanpa sempadan, membuat setiap pelosok dunia terumbang-ambing dalam kebimbangan.

Kebelakangan ini, banyak dokumentari iaitu filem atau siri berlandaskan fakta yang menggambarkan perubahan iklim dan kesan-kesan buruk akibat kecuaian ras manusia sebagai pembabit kapitalisme and konsumerisme.

Ia tentu menggentarkan dan menjelikkan naluri setiap penonton. Bukan sahaja margasatwa terjejas dengan hal ini. Malah, spesis manusia juga tidak terlepas daripada tamparan alam semula jadi. Kehidupan penduduk di beberapa negara kekabutan dibadai taufan, dituruni bah atau dilanda tuarang panjang. Negara-negara yang selama ini terlindung daripada sentuhan kemurkaan alam juga terduga dengan bekalan konsumer yang tergendala kalau tidak pun, tercemar dengan bahan bertoksik.

Hal ini telah lama dikemukakan di beberapa persidangan kemuncak antarabangsa namun seringkali dibutatulikan demi pembangunan iktisad. Disebabkan itulah hingga detik ini belum ada kata sepakat daripada kesemua negara. Kononnya, pembuangan air kumbahan tanpa was-was daripada kilang masih diperlukan demi menjana pendapatan penduduk daif di negara-negara membangun. Ada juga dalam kalangan mereka yang berpendapat bahawa pembalakan dan pembakaran hutan yang berleluasa, serta penangkapan ikan yang tidak lestari menjamin penghidupan seharian mereka. Namun, adakah ia membawa kekayaan saksama kepada golongan tersebut sedangkan mereka diperhambai ketaasuban dan kehalobaan?

Bagai rumput di tepi jalan, golongan marhaen lagi daif di negara mundur pula dieksploit oleh syarikat-syarikat dari dunia pertama itu sendiri. Tidak hairanlah seandainya waktu-waktu sebegini menampakkan lagi kesenjangan dalam kalangan komuniti dan negara terhadap penyelamatan Bumi yang mempunyai kesan langsung terhadap penghidupan kita.

Pencemaran ini bukan sahaja terjadi di negara-negara terbelakang. Negara maju juga berdepan dengan masalah ini. Pencemaran udara seperti debu yang terhasil daripada kenderaan-kenderaan yang berpusu-pusu di jalan raya, pencemaran air di mana hujan asid telah menghakis endapan dan hidupan sungai-sungai, dan pencemaran darat di mana sampah-sarap yang menimbun di tanah timbus dibiarkan mereput; telah menjejas flora dan fauna yang tidak serasi dengan keadaan sedemikian. Dalam kalangan penduduk, ia telah menyebabkan banyak masalah fizikal dan mental.

Ternyata, kita telah beransur ke dunia dystopia disurami konsumerisme tanpa sempadan, membuat setiap pelosok dunia terumbang-ambing dalam kebimbangan.

Pedihnya bukan kepalang. Dulu, kita sering membincangkan kesan pencemaran. Kini, kita menjadi sibuk memperbincangkan hal perubahan iklim.

Ibarat menambah garam ke parut luka, keamatan bencana alam meruncing saban kali ia berlaku. Wabak juga merebak dengan pesat membuat semua berasa penat dan tenat. Sama ada ia berputik daripada keperluan atau kesedaran, ia telah membuat perbadanan swasta dan awam menggubal pemikiran dan pendekatan mereka terhadap alam sekitar.

Impak negatif perubahan iklim kini seumpama barah yang perlu dikawal kalau tidak terhalang atau terhenti. Perubahan iklim hakikatnya memang berlaku secara semula jadi dengan kesan gas hijau. Namun, seperti kita sedia maklum, onar yang kita telah lakukan terhadap alam sekitar mempercepat kemenjadian cuaca yang lebih ekstrim.

Tamsilnya, pencairan kutub dan bongkah ais yang pesat menyebabkan perubahan suhu dan paras air laut. Kesenjangan tersebut menjejas kitaran penyejatan dan pembentukan awan – salah satu faktor utama kemenjadian cuaca.

Disebabkan itu, kebelakangan ini kita mendengar berita yang meremangkan tentang berlakunya rain bomb di mana hujan turun mencurah-curah dengan mendadak lalu menyebabkan banjir kilat. Apatah lagi kalau ia pertama kali berlaku di perlembahan tanah rendah yang didiami penduduk yang tidak tahu-menahu akan kemungkinan tragedi seperti ini. Perlembahan pun menjadi pelimbahan akibat tanah runtuh dan banjir. Di tempat yang lain pula, gelombang haba telah menyebabkan kematian yang tidak disangka.

Zaman beralih dan musim bertukar. Singapura juga tidak terlepas daripada ancaman ini. Sebagai titik permulaan, usul seperti Bon Hijau Singapura yang dikenali sebagai bon SINGA dikeluarkan untuk mengumpul dana bagi memicu pembinaan prasarana lain yang masih dalam perancangan. Sebagai langkah persediaan, perlindungan, penyesuaian, banyak projek yang telah dan akan dimulakan bagi menangani kesulitan sejagat yang berliku dan berbiku ini.

Pertama, bagai aur dengan tebing, perbadanan awam dan swasta telah bermusyawarah dan menjalin perikatan dalam projek-projek penjanaan utiliti agar semua meraih manfaat produktiviti.

Sementara Bumi berubah wajah, kita telah berjabat tangan atas pelaburan projek-projek Persekitaran, Sosial dan Urus Tadbir (ESG) yang berpaksikan keanjalan prasarana yang tidak sahaja tahan cuaca, malah menjana keperluan seperti elektrik dan air tanpa banyak gangguan terhadap kehidupan alam sekitar.

Di halaman kita sendiri, dalam pelaksanaan Pelan Hijau Singapura 2030, kita telah bekerjasama dengan beberapa firma untuk menyelaras dan menyelenggara pemasangan panel suria di atas setiap bumbung perumahan awam. Pertautan dalam projek rintis ini memang tepat pada waktunya di mana komponen yang diperolehi berdaya maju dan berkesan. Ia meringakan kebergantungan terhadap bahan bakar yang merosakkan permukaan Bumi akibat perlombongan. Tambahan lagi, perladangan panel suria untuk menjana elektrik adalah lebih bersih.

Pangkalnya, penggabungan tenaga antara badan-badan awam dan swasta tidak sahaja menjana bekalan mesra alam malah, mencipta pekerjaan dalam sektor ini. Ia memberi jaminan keselamatan dan keselesaan sosial bertampukkan pengurusan yang lebih utuh malah tegar.

Tambahan lagi, ada beberapa projek dalam landasan pembinaan dan perancangan sebagai perlindungan terhadap musibah alam. Tanpanya, kita tidak dapat melindungi asset-aset negara and hak asas kehidupan manusia.

Prasrana sebegini dibina untuk kebaikan kesemua penduduk dalam negara dan bertunjangkan nilai manfaat sosialisme dan kebersamaan. Pembinaan prasarana kolektif yang kental iklim adalah perlu sebagai perlindungan dan persediaan hari muka. Ini sehaluan dengan prinsip progresif orang Melayu dahulu yang memesan kita untuk sediakan payung sebelum hujan. Kini, kita sediakan benteng sebelum banjir.

Sebagai perlindungan daripada paras air laut yang meningkat dan hujan yang tidak menentu, kita juga mempunyai perancangan untuk membina benteng banjir dan terusan air. Contoh nyata; Terusan Stamford dan Bendungan Marina yang terbina bertujuan untuk mengawal paras air selain daripada memaksimakan bekalan air kita.

Seandainya projek sebegini tidak dilakukan, kesan iklim akan menjejas ritma kehidupan kita. Projek sebegini adalah wajar dan patut demi memastikan daratan kita terjaga. Hatta, mengelakkan kerosakan harta benda mutlak penduduk, dan kesengsaraan generasi muda kita. Ini adalah dengan harapan dapat menyokong produktiviti negara – kemampanan ekonomi, sekitaran dan sosial.

Selain daripada itu, dengan berkat usaha beberapa syarikat tempatan, pengurusan dan pelupusan sisa dan sarap yang ultra cekap juga telah dilakukan untuk menyelamatkan hutan belantara yang tercemar dengan pembuangan kita yang tidak bertanggungjawab.

Pengurusan sisa dan sarap penting kerana kitalah punca mengapa laut-lautan dan darat-daratan tercemar lalu menjejas keseimbangan ekosistem. Pengurusan sampah seperti peruntukan tong kitar semula juga tidak patut dijadikan sebagai pilihan. Ia sepatutnya dijadikan gaya hidup. Pengurusan sisa yang terkawal dan ketat juga memastikan penglibatan kita tidak mengeluarkan keluaran buangan berbahaya yang menjejas insan, haiwan-haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Serata estet perumahan di Singapura dilengkapi tong-tong kitar semula yang sedikit sebanyak telah membawa budaya mengitar semua dalam kalangan penduduk. Barangan terpakai seperti sisa elektronik dan kertas boleh dihumban langsung ke dalam tong tersebut dengan mudah. Selain itu, sampah-sarap yang tidak terkitar diproses melalui pengasingan, penyaringan dan pembakaran sehingga menjadi halus lagi lumat agar dapat menjimat ruang penimbusan tanah yang terhad.

Pengurusan sampah-sarap yang unggul boleh membuat pembuang  berasa puas hati setelah mengetahui sisa mereka akan diguna baik atau dikitar tinggi kalau tidak dilupuskan atau diuraikan dengan berkesan. Malah, ia dikembalikan kepada alam dengan hormat. Usaha yang membuka akses ini boleh mendorong pembabitan masyarakat dalam pembuangan sampah dan sisa dengan bertanggungjawab.

Pemupukan terhadap penjimatan bekalan dalam kalangan masyarakat juga penting kalau kita mahu memastikan penggunaan sumber yang terdidik dan terurus untuk jangka masa panjang.

Dewasa ini, banyak syarikat yang menguar-uarkan produk yang dapat menjimat tenaga dan bil elektrik. Sungguhpun produk itu mahal pada mulanya, ia menjimatkan pada jangka masa panjang. Setiap isian rumah juga telah digalakkan untuk menggunakan peralatan mesra alam. Dengan penggunaan peralatan tersebut, bukan sahaja ia dapat memudahkan hidup, malah menyenangkan saku dari sudut penjimatan bil api air.

Sebagai ilustrasi, kita telah digalakkan untuk menggunakan penyaman udara yang mempunyai penilaian kecekapan tenaga yang tinggi. Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) telah menggagas penilaian Energy Efficiency Rating bagi perkakas rumah seperti penyaman udara dan peti sejuk kerana peralatan sebegini kerap digunakan dan memakan kos elektrik yang tinggi. Label penggunaan tenaga cemerlang diberikan kepada perkakas cekap tenaga.

Dampaknya, pemupukan sebegini membuat pembeli lebih peka akan apa yang mereka beli dan kesan langunsg pada wang saku mereka. Lebih-lebih lagi, tinjauan telah mendapati bahawa seberlakunya cuaca panas yang melampau, sudah tentu penyaman udara akan digunakan dengan lebih kerap.

Pada jangka masa pendek, pelaburan ESG yang merangkumi contoh seperti pembinaan benteng banjir, pemupukan budaya sifar sisa dan kitar semula, dan pengubahan peralatan elektrik adalah projek yang penuh liku dan biku. Ia memakan kos, bahan dan tenaga manusia yang banyak. Namun, kalau ditaksir perbelanjaan purata sepanjang hayat pengunaan, ia sebenarnya mesra belanjawan. Harga pemulihan bencana alam bukan sahaja dari segi wang ringgit, tetapi keyakinan pelabur luar terhadap kebolehan kita dalam menangani krisis. Pelabur bukan sahaja berpangkalan di sini atas kestabilan politik, malah kerencaman budaya, daya saing penduduknya dan keterhubungan kita di rantau ini dan segenap benua.

Sungguhpun langkah-langkah berskala besar ada dalam perencanaan sementara selainnya dalam pelaksanaan, tidak patut dilupa pemegang taruh utama – iaitu individu seperti kita sendiri.

Bagaimana hendak membina benteng banjir kalau tiada pelaburan daripada penduduknya sendiri? Apalah gunanya ada tong kitar semula di setiap penjuru kalau tiada penggunaannya? Siapakah yang akan menjalankan projek-projek tersebut kalau kita sendiri enggan mengambil jawatan tersebut?

Kuasa untuk menyelamatkan Bumi dan menyesuaikan diri dengan perubahan iklim berpundak pada diri kita.

Sebagai individu yang berihsan, kita sewajarnya mempunyai rasa muhibah terhadap tumbuh-tumbuhan, haiwan-haiwan, dan manusia sesama kita. Setiap kali tindakan kita mencemari alam, seorang yang buat tidaklah terasa. Kalau berat sama dipikul, barulah rasa beratnya. Dalam Teori Permainan (Game Theory) yang sering di hujung bibir ahli politik, ternyata sekali benar. Kalau semua berpendapat tindakan mereka bagai melukut di tepi gantang, ketahuilah bahawa kesannya dapat dirasa sama. Baik kalau tingkahnya itu positif atau negatif.

Bayangkan kalau sepuluh orang dalam satu bilik merasakan tidak perlu untuk membuang sampah, maka semua tidak akan membuangnya lantas mengotori bilik itu. Namun, kalau semua yang bersependapat sebaliknya, begitu juga natijahnya. Sekarang, gandakan konsep berikut berbilion kali ganda, impaknya pasti berganda.

Maka itu, janganlah kita sesekali berpeluk tubuh dengan berfikiran bahawa dunia ini semakin terhakis dan terkikis. Kita masih berdaya dan berkudrat untuk melakukan apa yang patut. Semuanya berakar pada pendirian kita. Penyelamatan Bumi bermula daripada kita. Kalau tidak dipecah ruyung, manakan boleh dapat sagunya.

Bak kata leluhur kita, sehari selembar benang lama-lama menjadi kain. Kalau hendak penghidupan yang lebih indah untuk cucu-cicit, cubalah langkah-langkah wajar yang lain juga. Ini dengan harapan besar kita dapat mencipta dunia utopia dan memperkasa kemandirian untuk kita semua.