Apakah peranan muzik dalam hidup kita?

Muzik ialah sejenis seni bunyi yang menggabungkan runut alat muzik atau suara, atau digabungkan kededuanya sekali. Muzik mempengaruhi kehidupan manusia di mana tanpanya, hidup akan menjadi hambar. Di sini, kita akan kupas apakah peranan muzik dalam kehidupan kita.

Sebagai titik permulaan, muzik mempengaruhi emosi seseorang. Pernahkah kita berasa sugul lalu mendengar lagu sedih dan membayangkan ia seirama dengan getaran semangat kita? Setentunya, muzik dapat mendampingi perasaan seseorang. Seperti contoh, kalau kita berasa sedih, mungkin kita akan mendengar lagu bertajuk Sepi daripada Aina Abdul yang mencerminkan perasaan gundah kita. Dengan itu, kita tidak berasa begitu keseorangan menghadap onak duri perasaan itu kerana kita merasai seolah-olah penyanyinya sependapat dengan kita dan menjadi teman kita.

Tambahan lagi, muzik dapat membentuk keperibadian seseorang. Setiap lagu yang mempunyai lirik setentunya mempunyai mesej atau pesana. Sama ada ia mengandungi pesanan berkaitan agama, dorongan atau nasihat, kita boleh dipengaruhi mesej-mesej ini. Tamsilnya, lagu pembakar semangat yang malar segar seperti We Are Singapore, tertulis bait-bait berulangan malah berinspirasi yang mengingatkan kita akan sebuah negara impian yang satu dan padu. Berdasarkan lagu ini, dampaknya jelas di mana ia dapat membangkitkan semangat waja patriotisme. Lagu-lagu yang sehaluan dengannya ternyata dapat mengubah fikiran seseorang kepada sesuatu yang positif – dalam hal ini, cinta kepada negara.

Terakhir sekali, muzik dapat menjalinkan kita dengan budaya, adat dan sejarah kita. Disebabkan muzik menggunakan alat muzik daripada budaya yang rencam, kita boleh kenal pasti sedikit sebanyak tentang asal usul kita dan peredaran muzik sepanjang masa. Misalnya, irama zapin, salah satu irama tradisional Melayu yang berasal dari Johor menunjukkan bahawa pada waktu itu, Johor sudah didedahkan kepada budaya Arab dengan penggunaan instrumen Timur Tengah seperti marwas dan rebana. Kesan daripada pengetahuan ini memberi kita penjelasan bagaimana budaya Melayu terbuka kepada perkembangan dengan mempelajari bahkan menghayati budaya lain sebelum diserapkan sebagai budaya sendiri.

Tuntasnya, selain daripada muzik sebagai teman perasaan seseorang, ia dapat mempengaruhi personaliti kita dan mengajar kita lebih banyak tentang budaya sesebuah tamadun. Maka itu, wajar bagi kita memilih muzik yang tepat sepertimana kita memilih teman.