Warga emas didefinisikan menerusi had umur tertentu berdasarkan kepada budaya masyarakat setempat. Walau bagaimanapun, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mentakrifkan warga emas adalah individu yang berusia dari 60 tahun ke atas. Namun, terdapat segelintir golongan warga emas yang terabai hidupnya. Mereka merupakan golongan minoriti yang tidak dipedulikan hak dan keperluan hidup oleh keluarga atau masyarakat sekelilingnya. Warga emas yang terabai ini bertarung dengan sengsara hidup seperti bergelandangan di jalanan, tinggal bersendirian dalam kedaifan dan terlantar di hospital dek penyakit kronik tanpa rawatan. Tiada waris pun yang datang menjenguk. Pengabaian warga emas boleh berlaku dalam semua lapisan masyarakat sama ada golongan kaya ataupun miskin, profesional ataupun buruh yang mungkin caranya sahaja yang berbeza.
Sebagai titik permulaan, barangkali warga emas tersebut pernah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap keluarga pada usia muda. Keluarga warga emas yang terabai tersebut sukar melupakan sejarah silam nan bernoda akibat diabaikan. Cabangnya, ada dalam kalangan mereka yang menyimpan perasaan kecewa, benci dan dendam amarah kerana tidak diendahkan, tidak diberikan pelajaran, didera atau tidak diberi kasih sayang secukupnya. Ada dalam kalangan warga emas yang terbiar kini didapati pernah terjebak dalam gejala sosial ketika di usia muda. Antaranya seperti melakukan jenayah, ataupun meninggalkan keluarga kerana ingin berlepas tangan bagaikan embun di hujung rumput. Kesannya, keluarga mereka akan tertanya-tanya adakah patut orang tua mereka diberikan layanan yang berbeza? Namun, ini hanya punca sebesar kuman jika dibandingkan faktor-faktor lain.
Selain daripada itu, kemungkinan juga seseorang tua itu tidak mempunyai wang simpanan yang mencukupi lantas tidak mampu menyara penghidupan mereka dengan baik.Sayangnya, mereka kini sudah tidak lagi berkudrat untuk mencari sesuap nasi pun. Ramai dalam kalangan mereka yang hidup terbiar, menjadi kutu rayau, merempat dan terdesak dengan menjadi pengemis. Sekiranya keluarga mereka berpendapatan rendah, pasti ada banyak tanggunggan. Beban penjagaan warga emas berpundak pada mereka pula. Bebanan kewangan akan bertambah sekiranya warga emas kehilangan keupayaan fizikal dan mental. Sayangnya, inilah salah satu penyebab lingkaran musibah. Tamsilnya, seseorang tua itu mungkin menghidapi penyakit barah sehingga menjejas saraf otak mereka sampaikan terpaksa diwadkan ke dalam Wad Penjagaan Intensif (ICU). Kemudian, timbul pula dilema kalau palam bantuan hayat patut dicabut. Dampaknya, kos rawatan di hospital akan berlipat ganda dan berguling kepada si waris. Maka dengan itu, jelaslah perancangan kewangan harus dilakukan pada usia muda, dan kerja keras digiatkan agar pagi tidak dibuang, senja tidak dikejar. Jika tidak, kais pagi makan pagilah kita. Ternyatalah masalah kewangan boleh menjadi punca orang tua menjadi kerakap di atas batu, hidup enggan mati tak mahu.
Senadi dengan itu, kekurangan pengetahuan dan pegangan agama menyebabkan seseorang itu kecundang dalam aspek akhlak dan fiqih penjagaan keluarga; baik yang muda mahupun yang tua. Penghayatan nilai-nilai agama sangat penting kerana ini dapat membentuk peribadi yang mulia dalam diri seseorang tanpa mengenal usia. Anak-anak yang mendapat asuhan dan bimbingan agama dipercayai akan cenderung dalam membalas jasa dan bakti orang tua mereka. Namun, adalah tugas ibu bapa juga untuk melentur buluh dari rebungnya. Sebaliknya, anak-anak yang tidak mendapat didikan agama dan kerohanian sejak kecil lagi akan mengarah kepada kepentingan diri dan mengabaikan tanggungjawab terhadap ibu bapa yang sudah uzur. Tamsilnya, dengan memberi pendidikan tentang hukum fiqah seperti hukum faraid dan wasiat, sekumpulan adik-beradik tidak akan kira-mengira akan harta peninggalan arwah. Tidak akan mereka ungkit-mengungkit siapakah yang patut menjaga orang tua mereka berasaskan bahagian harta yang akan mereka peroleh. Tanpa bimbingan lunas, jangankan menjaga orang tua mereka, menatap muka mereka pun tidak. Oleh itu, terserlahlah ketandusan ilmu agama menjadi salah satu punca hal sebegini berlaku.
Lantaran daripada itu, warga emas juga boleh terabai walaupun tinggal bersama keluarga sekiranya ahli keluarga atau anak-anak mereka sibuk mengejar kesenangan hidup dan terlalu aktif dengan aktiviti sosial. Mereka ditinggalkan keseorangan dan kesepian hingga tidak mempunyai peluang untuk berkomunikasi, meluahkan masalah atau berkongsi kegembiraan dengan ahli keluarga. Acapkali tekanan emosi sebegini bertunas kepada masalah yang lain seperti salah faham dan syak wasangka. Namun demikian, warga emas yang tinggal berasingan atau berjauhan dengan anak-anak atau warisnya pula akan terabai sekiranya jarang-jarang diziarahi, tidak diberikan sumbangan kewangan, tidak dipandangkeadaan kesihatan, keselamatan dan makan minum atas alasan sibuk dengan urusan kerja.Ini diibaratkan kacang yang melupakan kulit. Sejak kecil, anak-anak mereka dijaga dan dididik bagai menatang minyak yang penuh. Malangnya, sesudah besar, meraih ijazah, menjawat pangkat yang tinggi dan mempuyai keluarga sendiri, mereka memandang enteng terhadap kebajikan orang tua mereka. Lebih teruk lagi, ada dalam kalangan anak-anak yang hanya mempergunakan ibu bapa yang sudah tua untuk menguruskan kerja rumah atas alasan sukar mendapatkan pembantu rumah atau kos sara hidup yang meningkat. Hal sebegini banyak kali tercitra dalam filem, sastera dan lagenda Melayu seperti Tanggang, Anakku Sazali dan telenovel Syawal yang bercitrakan anak yang tidak mengenang jasa. Hal ini terpampang dan tidak dapat dinafikan sehingga patut diakui dan diatasi melalui media massa.
Yang lebih menyayat hati, terdapat warga emas yang tersingkir dan tersisih dek tiada waris yang menjaganya terutama bagi yang berstatus bujang, duda atau janda yang tidak beranakatau waris tidak dapat dikesan. Biasanya mereka terpaksa tinggal di pusat-pusat jagaan orang-orang tua yang dikendalikan sama ada oleh perbadanan awam atau swasta, atau dijaga oleh rakan-rakan, jiran-jiran atau orang-orang yang bersimpati dengan mereka.Gambaran ini diwarnai di estet-estet perumahan yang dihuni penduduk tua lagi uzur yang tinggal bersendirian. Akhirnya, mereka mati keseorangan sehingga bau bangkai mereka menjalar keluar melalui ceruk-ceruk pintu, barulah diketahui keadaan mereka. Dalam pada itu, luluh dan terurai sudah jasad mereka tanpa persemadian rasmi. Tidak hairanlah kalau ini menjadi kerisauan sang perintis meniti usia senja mereka.
Apa pun masalah yang dihadapi, tiada yang lebih bermasalah daripada jurang generasi dan prinsip yang menyebabkan jurang komunikasi. Ini adalah masalah yang selalu terlepas daripada pandangan warga emas kerana masyarakat kita masih berpegang teguh kepada yang tua lebih banyak makan garam. Bagi mereka, apa yang merka kata betul, betullah ia. Kesenjangan komunikasi dan nilai hidup antara anak-anak dan menantu, dengan ibu bapa atau mertua yang sudah tua, boleh menimbulkan pertelingkahan dan perselisihan faham.Cukup sahaja tanggapan bahawa ‘kaum hawa hanya bertugas di dapur dan harus tahu masak’ untuk mencetus persengketaan keluarga. Kalau tidak si menantu yang merajuk, si anak pula yang akan cuba membela. Kemudian? Ibu bapa si anak pula yang merajuk. Seolah-olah serba kekurangan seperti kain tiga hasta. Kemudian timbullah naratif di mana seseorang anak itu derhaka kerana hanya membesarkan pasangan atau mertua mereka. Sedangkan, antara kedua pasangan tersebut mereka sudah membuat persetujuan yang seiring dengan kehendak hidup zaman mereka. Kadang-kadang, perkara sebeginilah yang membuat anak-anak muda barangkali tawar hati. Bagi mereka, adalah lebih baik mengacip bibir daripada memberi komen yang boleh disalahertikan. Seperti contoh, masih terdapat golongan yang berpegang kepada piagam hanya lelaki yang sepatutnya bekerja dan wanita sepatutnya menguruskan rumah sepenuh masa. Namun, kita harus sedia maklum tidak semua institusi keluarga yang mampu berbuat begitu. Istilah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara berpaksikan bagaimana kaum Adam menjadi pemacu negara dan kaum Hawa penyandang usaha ini boleh dicerminkan dalam cahaya yang berbeza. Setiap keluarga mempunyai ciri-ciri tersendiri yang harus dihormati. Oleh itu, sebagai warga tua, masalah sebegini memerlukan mereka meneliti juga tingkah dan ragam berhubungan dengan anak-anak mereka. Berikanlah ruang kepada golongan muda tersebut untuk mencipta tatacara hidup sendiri kerana zaman pun sudah pesat berubah. Kalau dulu-dulu, bolehlah ketua keluarga sahaja yang bekerja. Sekarang, cukup beruntung kalau bayi yang dilahirkan tidak perlu membanting tulang! Kalau tidak, sehelai sepingganglah hidup. Dengan itu, pendekatan jurang komunikasi ini haruslah menjadi keutamaan orang-orang tua sejak mereka menjejaki ambang usia senja. Muhasabah diri tidak sahaja harus berlaku pada yang muda, yang tua pun tidak terlepas daripada proses ini.
Intihanya, memang banyak masalah seseorang tua boleh hadapi. Harus diketahui juga mereka lebih sensitif dalam pelbagai aspek. Daripada keretakan tulang-belulang kepada kerisauan tentang belanjawan dan perasaan yang mudah tersinggung, ini semua boleh diatasi melalui perancangan yang teliti dari segi emosi, fizikal dan sosial. Harus difahami, penuaan tidak hanya berlaku pada aspek kesihatan fizikal. Malah, keseimbangan emosi dan sosial merangkumi aspek kesihatan menyeluruh. Suka atau tidak, banyak kajian baik anekdotal ataupun saintifk yang membuktikan kesihatan dalaman (emosi dan sosial) merupakan teras dan tunjang utama kesihatan dan keberadaan kita.
Sudah menjadi fitrah, manusia tidak akan terlepas daripada masalah. Bak kata pepatah, pelepah bawah luruh, pelepah atas jangan gelak. Mulai dari sini, ada banyak cara yang beretika yang boleh kita terokai bagai melayari arus kehidupan ini.