Mendalami Erti Keperluan dan Kemahuan Melancong

Sebelum COVID-19, langit dipenuhi pesawat-pesawat antarabangsa yang berbolak-balik menghantar penumpang dari satu tanjung ke satu tanjung. Pada waktu malam, ia sering disilapkan sebagai tahi bintang walhal ia hanyalah objek buatan manusia. Bagi mereka yang mempunyai kepercayaan membuat hajat tatkala menemui tahi bintang yang melintangi atmosfera, pasti terpedaya dengan apa yang dilihat.

Dengan tidak semena-mena, tertulis di warta dunia bahawa sempadan-sempadan dari setiap pelosok dunia akan ditutup. Tergendalalah pergerakan di lapangan-lapangan terbang antarabangsa sehingga hari ini. Hampir setiap negara yang bergantung pada industri penerbangan ini bertungkus-lumus mencuba menyuburkan kembali industri yang terjejas ini. Program seperti ‘Flight to Nowhere’ dilancarkan di mana penerbangan berlegar di ruangan udara sempadan dijadikan sebagai hiburan, ataupun pengalaman makan di dalam pesawat-pesawat mewah. Apa pun cara, kebanyakan nampaknya tidak begitu kental dalam menampung kos biaya bisnes tersebut.

Sebagai individu, kita pasti rasa tercuit akibat hal ini walaupun bukan kita yang dibebani tanggungan tersebut. Kita merasakan seolah-olah tragedi ini telah mengongkong kehidupan kita yang sebelum ini bebas macam unggas. Kalau dikaji dengan teliti, pelancongan, penjelajahan dan pengembaraan adalah lumrah dan tabii setiap manusia kerana kita dicipta sebagai insan yang mempunyai sifat ingin tahu. Kemahuan untuk berbuat demikian, pasti kian membara dalam kalangan kita. Secara berseloroh, pasti lapangan terbang dan pusat-pusat imigresen akan dipenuhi orang yang berpusu-pusu menyerah passport tatkala mendengar khabar bahawa sempadan sudah dibuka.

Apakah seronoknya tentang melacong selain daripada keizininan implisit untuk melaram di tempat-tempat menarik lalu memuatnaikkan gambar-gambar ke lelaman sosial? Kalau diteliti, melancong sebenarnya memenatkan dari segi mengemas barangan keperluan, mentaksir wang yang diperlukan, membeli insurans pelancongan, mencari tempat penginapan yang sesuai, dan mungkin juga drama yang boleh tercetus sewaktu melancong. Ini belum lagi ditambah kegiatan yang menanti sekembalinya kita ke tanah air. Terpaksa kita mengemas kembali barang-barang yang telah dibeli, barangkali ada juga yang jatuh sakit kerana tidak serasi dengan perubahan cuaca.

Dalam spektrum yang berbeza, perkara-perkara tersebut sebenarnya menguji kebolehan kita berdikari dan sifat itu adalah satu keperluan.  Melalui aktiviti melancong, manfaatnya dapat dilihat dari beberapa sudut di mana kita akan tinjau.

Pertama sekali, melancong mengajar seseorang itu untuk berjimat cermat. Ironik sedangkan melancong itu bukanlah satu keperluan tunjang di mana kita tidak boleh hidup tanpanya. Tidak pun disebut dalam Teori Heirarki Keperluan Maslow, satu gagasan yang acapkali digunakan jika hal keperluan asas dibincangkan.

Di rumah, kita mungkin terlalu selesa dengan kebiasaan harian. Pada hari-hari biasa, sudah menjadi kelaziman untuk kita membuat belanjawan yang sesuai lalu mengolahnya beberapa kali untuk menyesuaikannya dengan perbelanjaan kita pada setiap satu waktu. Kemudiannya, kita tidak rasa begitu terjejas dengan perbelanjaan yang berlebihan pada sesuatu bulan kerana pada bulan seterusnya, seseorang itu boleh berjimat untuk mendapatkan kembali wang yang telah dibelanjakannya. Timbul pula persoalan, kalau begitu rentaknya, bila kita akan mula berjimat sedangkan kita hanya mencagarkan dahulu perbelanjaannya? Hal ini, setentunya tidak akan berlaku seandainya kita melancong.

Ideanya begini. Di luar negara, seseorang pelancong itu boleh membawa sejumlah wang terhad ke luar negara sebagai duit perbelanjaan yang diagihkan kepada duit jajan, duit membeli-belah, duit penginapan, dan duit pengangkutan. Pada penghujung hari, saki-bakinya pula digunakan untuk perbelanjaan saat-saat akhir di lapangan terbang sebelum pulang. Bagi pelancong tersebut, wang tunainya dikira memang terbatas. Mana lagi tabung yang hendak dikorek kalau bakinya sekupang pun tidak? Sungguhpun ia boleh dinafikan bahawa kad kredit dapat mengungkai masalah itu, kad kredit pun ada had kredit yang boleh ditetapkan sebagai langkah waspada. Adalah waras untuk berbuat demikian memandangkan pemegangan kad kredit juga boleh membawa risiko pencurian maklumat yang dapat menyekat penggunaan kad kredit. Pengenaan bunga juga akan membuat seseorang itu befikir sekali dua sebelum meluncurkan kad kredit ke dalam slot mesin.

Ini jelas memaparkan salah satu kepentingan melancong di mana ia mendidik si pelancong nilai berjimat-cermat dalam perbelanjaan. Andai dibawa kembali Teori Heirarki Keperluan Maslow, kemahiran berjimat-cermat menguji daya tahan kita dalam menjamin keselamatan kita yang termaktub di aras kedua piramid tersebut. Ia sepastinya membuat kita ingat sebelum kena, jimat sebelum habis. Sifat mandiri seseorang itu juga akan terbina.

Seiring dengan pepatah Melayu, jauh perjalanan luas pemandangan. Melancong juga penting untuk kita menimba ilmu. Mungkin, ramai yang akan menyangkal dengan pendapat ini kerana setiap kali kalau kita sebut tentang cuti, pasti akan timbul kosa kata seperti membeli-belah, bersuka-ria, berjoli, bermandi-manda, berjalan-jalan, istilah yang tiada kena mengena langsung dengan hal ilmuwan.

Melancong dapat memberi kita perspektif yang lebih meluas terhadap perkara yang mungkin selama ini kita tidak kenali atau fahami. Maklumlah, kalau tak kenal, maka tak cinta. Tiada dua negara yang mempunyai pembudayaan yang sama walaupun lakaran bandarnya seiras. Ia memberi kita pendedahan kepada gaya hidup budaya lain dengan mengalaminya sendiri selain daripada melihatnya melalui kaca televisyen ataupun mendengar desas-desus orang lain yang belum pasti kesahihannya. Ia ternyata dapat menyangkal dogma dan stigma yang sekian lama terpahat dalam benak kelabu kita.

Lihat sahaja kota raya Dubai di mana perancangannya diilhamkan bandar Singapura yang telah menjadi suri teladan kepada banyak negara kerana kemampuan model perencanaan yang boleh diskalakan. Ada lebuh raya luas yang terjaga, teknologi penyulingan air bersih walau di padang pasir, dan ramai pendatang asing yang datang bersaing. Lapangan terbangnya juga ditujukan untuk menjadi hab serantau dan antarabangsa. Sistem pengangkutan awam pun persis pelaksanaan perancangan bandar di Singapura, dan lain-lain lagi. Semuanya hampir sama jadi, apa yang menarik sangat bagi seorang warga Singapura hendak ke sana?

Bagi mereka yang pernah ke sana pasti akan terdetik dengan sosiobudaya orang Emiriah kalau bukan dengan deretan pencakar langitnya. Kalau negara yang kaya dengan sumber alam juga mendapatkan khidmat dan konsultasi daripada negara bersaiz kecil, ini hanya menunjukkan bagaimana kita juga mestilah membawa resmi ayam betina dengan mempelajari daripada negara lain dan tidak terlalu bangga dengan kemajuan yang telah dikecapi negara sendiri.

Dengan melancong, pengalaman yang kita raih melalui pancaindera kita sendiri akan mengimbangi kecerdasan emosi dan intelek kita. Sebab itulah kita selalu didapati dalam keadaan ceria atau orang putih kata ‘good mood’ sekembalinya ke tanah air, malah ghairah menceritakan pengalaman tersebut sebagaima ia telah membuka pandangan sarwa kita.

Apakan daya, dek wabak yang melanda kita hanya dapat berasa hampa tatkala mendengar sempadan tidak akan dibuka hingga entah bila.

Adakah ini bermaksud segala nilai positif yang sepatutnya ditimba melalui penerokaan dunia terhenti di situ sahaja? Bagaimana pula dengan melancong dalam negara?

Singapura sebuah negara yang kecil. Bagi mereka yang ada latar dalam Ilmu Alam atau Geografi, pasti tahu bahawa negara kita lebih kecil daripada Danau Toba. Saiz kita sangatlah kecil sehingga pesawat kebangsaan kita sendiri suatu ketika terkapai-kapai kerana hampir lemas dalam kerugian yang besar. Pesawat kebangsaan kita juga tidak ada ruang untuk menampung penumpang domestik untuk mengadakan penerbangan ulang-alik dalam negeri. Mahu terbang ke mana? Belum sempat berlepas ke ruang udara dari arah timur, sudah tiba di sebelah barat. Begitu kecilnya kita. Senang kata, boleh sahaja dibubarkan tetapi kita mesti ingat bahawa pesawat kebangsaanlah yang membawa nama negara dan bendera negara kita ke serata dunia dan memberi penumpang antarabangsa secebis budaya kita untuk dijamah di udara.

Sekecil mana pun kita, tidak bererti sejarah dan kebolehan kita dangkal. Tidak bermaksud kita tidak mempunyai daya tarikan yang menarik. Barangkali, kita sudah terlalu lazim dan biasa berjalan lalu tempat-tempat pelancongan sehingga terasa banal untuk memikirkannya sebagai salah satu tempat pelancongan.

Seandainya masih ada lagi bibit-bibit berahi melancong, ramai dalam kalangan masyarakat bercuti inap di hotel-hotel dan perkhemahan mewah semata-mata untuk mendapatkan pengalaman yang berbeza akibat jemu di rumah. Tukar angin, orang kata.

Dengan bercuti inap, walau tampak remeh dan membazir, kita sedikit sebanyak telah menyuburkan ekonomi dan bisnes-bisnes lokal yang masih merudum dan terjejas akibat kekurangan pelancong. Transaksi yang silih bertukar tangan ialah penentu kalau sesebuah negara itu mempunyai iktisad yang rancak. Begitupun kalau kita masih tidak dapat melihat kesan terhadap konsep yang meluas, kita boleh sahaja tinjau faedah yang kita sendiri raih.

Sewaktu cuti inap, tidak perlu kita merimaskan diri dengan mengemas katil, memasak sarapan, ataupun merias rumah. Pengemas kamar hotel pasti kekal bersedia melaksanakan tugas. Hotel-hotel mewah juga ada kemudahan bertaraf antarabangsa seperti gim dan kolam renang yang boleh dinikmati bersama yang tersayang. Malahan, tunas rasa kita juga boleh diliukkan dengan bersantap di restoran-restoran mewah yang selalunya sesak dengan pengunjung sebelum COVID-19 menawan kita. Bagi mereka yang bercuti inap sendirian, inilah waktu sebaiknya untuk bermuhasabah sambil berlela. Bagi mereka yang selalu mengomel dan menggerutu kerana tempat-tempat sebegini dipenuhi pelancong, inilah satu-satunya waktu kita dapat menikmati sendiri prasarana liburan seperti ini.

Hakikatnya, nilai seperti beramah bersama keluarga dan bermuhasabah diri tidak semestinya hanya dapat dilakukan di luar negara. Aktiviti ini seharusnya diniatkan untuk mengakrabkan hubungan selain daripada bersantai. Sambil berendam dalam kolam, boleh juga kita mensyukuri ketenangan yang mendatangi diri.

Mungkin, cuti inap sesuatu yang ekstrim bagi mereka yang ingin berjimat memandangkan keadaan kewangan yang tidak stabil, ataupun sudah sebati dengan menjadi petualang beg galas sehingga tidak serasi dengan katil empuk. Mereka boleh sahaja menziarahi tempat-tempat menarik sebagai lawatan balik hari atau ‘day trip’.

Singapura tidak tandus dengan tempat-tempat menarik. Mujur, kebanyakan daya tarikan pelancong terbina lebih sedekad lalu sebagai persediaan penganjuran acara antarabangsa seperti Sukan Olimpik Belia (YOG), dan perlumbaan Singapore Grand Prix. Dana yang telah diperuntukkan ini bertujuan untuk membina tempat berlibur bagi rakyat Singapura juga, selain daripada menjana pendapatan melalui perbelanjaan pelancong yang sebelum ini datang berduyun-duyun. Lantaran itu, bukan sahaja latar langit kita yang berwajah baharu. Dinamik ekonomi dan nama baik Singapura juga mendapat manfaat langsung.

Tamsilnya, tarikan moden seperti ArtScience Museum, Taman di Persisiran (Gardens by the Bay), Universal Studios dan seumpamanya telah menjadi teras penghiburan sewaktu cuti sekolah. Tarikan am seperti Taman Haiwan Singapura dan Safari Malam sama sekali menunjukkan kota Singa ini masih mempunyai sentuhan alam. Manakala, tarikan berintikan sejarah seperti Taman Fort Canning dan Muzium Negara Singapura pasti mewarnai Singapura sebagai kota yang kecil tetapi kaya dengan sejarah. Ini sinonim dengan kerencaman daya tarikan pelancong yang berkualiti.

Pernyataan tersebut sepatutnya menimbulkan rasa bersyukur kerana walaupun Singapura kecil, kita mempunyai tarikan yang terjaga lagi pelbagai bagi setiap lapisan masyarakat baik yang muda atau yang tua, yang intelek atau yang kreatif, pasti ada tempat untuk semua waimapun taman permainan di halaman kita tidak sebesar mana.

Kesimpulan ini membawa kita tentang bagaimana bercuti tidak bermaksud kita semestinya ke luar negara. Mungkin, inilah masanya untuk melancong dalam negeri berpaksikan pembinaan jati diri dan penghargaan terhadap apa yang diberi, sebelum kita berkongsi kembali dengan dunia luar akan negara yang kita cintai.