Pepatah tidak akan Melayu hilang di dunia sangat mendalam. Walaupun pada dasarnya ungkapan ini tampak egoistik dari mata luar; memandangkan budaya Melayu menekankan kesantunan budi dan kerendahan diri, ungkapan ini dapat dikupas melalui perkembangan bahasa dan budaya Melayu sepanjang zaman ini. Persoalannya, adakah seseorang individu itu akan memahami budayanya dengan baik hanya dengan menggunakan bahasanya sendiri?
Sejarah bahasa Melayu tidak asing lagi dalam kalangan penutur Melayu yang terdidik. Dari mulanya penulisan Kawi, Rencong, Jawi, sehingga penyerapan Rumi, tercermin perubahan budaya yakni gaya hidup orang Melayu dari awal abad hingga kini. Maka dengan itu, tidak hairanlah keyakinan terhadap pepatah awal tadi masih utuh.
Secara lahiriah, seseorang itu tidak akan memahami budayanya melainkan dia bertutur dalam bahasanya sendiri, termasuklah bahasa Melayu. Ini disebabkan dengan penuturan yang berterusan, penutur tersebut akan mencuba mencari makna atau melahirkan satu kata baharu untuk menepati lenggok lidahnya, iaitu fonetik bahasa ibundanya. Ini jelas daripada bidang perundangan mahupun bidang seni yang mana penggiat industri tersebut mesti memelayukan beberapa istilah tanpa menghakis makna asal perkataan itu. Pembezaan kelebihan dan kekurangan dalam bahasa mengizinkan penutur itu untuk mengenali dan memahami budayanya. Mungkin janggal untuk diterima tetapi, adalah penting untuk kita perhatikan kelemahan budaya kita juga agar kita boleh cari tahu solusinya. Bukan sahaja mengagungkan kelebihannya.
Justeru bagi yang berilmu, mereka bukan sahaja dapat memahami asbab perubahan budaya sendiri yang berpunca daripada pendedahan dan pertukaran silang budaya, malah menghargai dan menghayati perubahan itu dan menambah nilai kepada budayanya. Jadi jelas kalau individu itu menggunakan bahasanya, dia akan memahami budayanya sendiri dengan baik.
Dewasa ini, dengan letusan maklumat yang berterusan, seseorang juga dapat memahami budaya sendiri dengan bacaan meluas sama ada melalui komen-komen dalam media sosial ataupun kandungan-kandungan yang direka cipta oleh pengguna dari perantauan. Hatta, menggunakan bahasanya sendiri secara reseptif. Waimapun bahasa yang digunakan tidak semestinya halus, inti pati komen pengguna memadai untuk melakarkan fikiran dan pandangan mereka terhadap sesuatu hal. Sebagai masyarakat minoriti, kandungan sebegini penting agar kita tidak menjadi insular dan terpulau daripada perubahan budaya secara amnya. Mujur, dengan aliran deras informasi jugalah kita mudah garap bukan sahaja tren yang menjadi ikutan malah penjanaan istilah yang sebelum ini tidak pernah wujud. Tamsilnya, istilah swafoto terdetik daripada pengunaan orang serantauan yang kemudiannya dikodifikasikan menjadi istilah rasmi bagi perkataan selfie. Makanya, penggunaan bahasa sendiri akan membuat seseorang memahami budayanya sendiri yang mana ia tidak mundur malah bahasanya sejajar dan akrab dengan kehendak zaman.
Namun begitu, pengenalan jati yang mantap terhadap budaya sendiri tidak sahaja tercetus melalui penggunaan bahasa sendiri. Kita dapat amati bahawa masyarakat yang mempunyai jati diri yang kuat, tidak semestinya bertutur, mendengar atau menulis dalam bahasa ibundanya secara terasing. Ini logikal dan masuk akal memandangkan kita hidup dalam masyarakat majmuk. Keadaan sebegini juga tidak bererti seseorang individu itu tidak mempunyai jati diri. Ini jelas dalam faktor-faktor yang akan dibincangkan selanjutnya.
Andai kata seseorang itu tidak fasih lidah untuk bertutur, atau letih tangan untuk memasak, antara cara paling pasif untuk memahami budaya sendiri dengan baik adalah dengan menonton filem-filem, siri-siri, atau mendengar lagu-lagu budayanya. Ini ternyata amat bermanfaat untuk seseorang memahami budaya mereka sendiri dengan baik. Selain daripada pelbagai laras bahasa yang digunakan dalam ajnas genre lagu, seni dalam budaya tidak sahaja mencerminkan pertukaran silang budaya; alat muzik Melayu terdiri daripada alat bangsa lain yang rencam.
Pencipta lagu, lirik dan filem sebenarnya juga berperanan untuk menguar-uarkan ideal sesuatu budaya kendatipun ia belum wujud dalam kalangan masyarakat. Ini tambahan daripada peranan mereka yang sebaiknya menjadi penghubung dan penentukur budaya antara generasi. Penyerapan bahan seni sama penting bagi seseorang yang mencuba untuk mengenali sesuatu budaya kerana acap kali ia diteladani dan diikuti oleh si pendengar dan penonton; baik si anak jati mahupun orang asing.
Sebagai gambaran, lagu-lagu klasik seperti Selamat Hari Raya nyanyian Puan Sri Saloma gubahan Tan Sri P. Ramlee telah menjadi lagu wajib dalam pembudayaan masyarakat Melayu. Sehinggakan, jika ditanyakan kepada yang bukan Melayu akan lagu ini, kebanyakan akan menyatakan mereka kenal akan iramanya. Begitu hebatnya estetik dalam pembudayaan kerana bait-bait lirik lagu itu juga menerangkan cara orang Melayu menyambut Hari Raya, dan mengajarkan ucapan yang ringkas rentas komuniti. Ia juga menarik minat golongan lain untuk cuba mengenali dan memahaminya. Bangsa lain dapat mempelajari ucapan yang sesuai untuk diucapkan kepada kita melalui lagu seperti ini dan kita pun tidak perlu memperbetul orang lain serta berasa terkilan akan tahap ambil tahu orang lain terhadap budaya kita.
Dalam dunia perfileman, gerak-geri seseorang mencerminkan juga budaya mereka. Tidak lain dan tidak bukan, orang Itali terkenal dengan isyarat tubuh mereka seperti mencium jari sebagai penanda makanan yang disaji itu sedap, orang Melayu juga mempunyai isyarat tubuhnya sendiri termasuklah cara bersapa. Contohnya, kanak-kanak yang bersalam dengan ibu bapanya menunjukkan itulah tatacara anak-anak Melayu menyapa dan menghormati ibu bapanya. Dengan cara ini, bukan sahaja sifat menghormati diacu ibu bapa malah diacu media.
Seperti yang diperlihatkan dalam video di bawah, iklan ucapan sebegini bermanfaat dalam memberi cerapan tentang bagaimana orang Melayu menyambut Hari Raya secara amnya.
Dengan gambaran sebegini juga, kita dapat menunjukkan ideal orang Melayu kepada dunia luar yang mungkin agak terbelenggu dengan pembudayaan Asia secara amnya. Kadang-kadang, kalau perbuatan itu menonjol, menarik dan seronok dilihat, tidak hairanlah kalau budaya itu ditiru orang lain. Setentunya, diharapkan apa yang dimimik itu elok dan tidak diambil guna dengan sewewenangnya.
Lantas kita dapat amati, pendengaran muzik dan penontonan filem sendiri selain daripada penggunaan bahasanya sendiri boleh membuat seseorang memahami budayanya. Sementelahan, ketetiga faktor ini menguji dan memperhebat kemahiran generatif dan reseptif komunikatif seseorang. Malah meningkatkan kesedaran sosiobudaya sendiri.
Faktor-faktor di atas jelas mengesyorkan bahawa seseorang itu dapat memahami budayanya kalau dia menggunakan bahasanya sendiri. Namun, ianya tidak terasing kerana pemahaman tentang budaya sendiri boleh tercitra selain daripada penggunaan bahasanya sendiri. Faktor lain seperti pemakananan dan seni dapat memberikan kesan yang sama.
Pemahaman budaya juga terlihat dalam kulinari individu itu. Domain makanan menarik memandangkan ramuan dalam sesuatu makanan tidak semestinya terdapat dari satu daerah atau negeri. Yang membuka mata lagi, dengan mencuba makanan tradisional sendiri kita dapat tahu sejarah sesuatu tempat. Contoh nyata dapat dilihat dalam masakan Melayu seperti mi rebus versi Johor-Singapura; yang merangkumi mi ciptaan Cina, kentang yang diimport dari perantauan Eropah, rempah ratus didagang dengan India mencerminkan apresiasi pertukaran yang berhujung di rumah setiap penduduk rantau ini. Maka dengan itu, adalah wajar seseorang akan memahami budaya sendiri jika mereka memasak makanan tradisional di dapur. Secara anekdot, disebabkan itulah ramai berpendapat bahawa; walaupun resipi tradisional dapat dikongsi, hasil air tangan pemasak jati tidak pasti sama rasanya daripada yang asing. Hanya yang tahu mengetahui.
Dari segi fesyen, seseorang akan memahami budayanya kalau dia memakai pakaian tradisionalnya. Jika dikaji, pakaian setiap budaya berubah pesat mengikut kehendak zaman. Walaupun bahan fesyen kini lebih cenderung kepada fabrik mesra alam atau fabrik kitar tinggi, elemen kebudayaan tetap ampuh. Ini dapat dilihat daripada potongan baju Melayu yang kita lihat hari ini. Sama macam makanan Melayu, pakaian Melayu memperlihatkan sejarahnya juga. Seperti contoh, dalam desain baju kurung, rekaan cekak musang dan teluk belanga menunjukkan kaitan sejarah Telok Blangah di Singapura dan kesultanan Johor. Maka, bukan dengan penggunaan bahasa sahaja, dengan memakai pakaian tradisional seseorang akan dapat tahu dan memahami budayanya dengan mendalam.
Sebagai pengikat kata, seseorang itu akan memahami budayanya bukan sahaja daripada penggunaan bahasa secara generatif atau reseptif. Dia juga boleh memperoleh penghayatannya melalui pemakanan, pendengaran muzik, penontonan filem dan pemakaian budaya jika giat mengamalkannya. Namun begitu, kita harus akui bahawa pengamalan ini semua harus datang secara intrinsik kerana ia hanyalah unsur luaran yang ada di sekeliling individu itu. Disebabkan itulah tarikan estetik dari sudut pandangan ini penting untuk menarik minat pendukung bangsa itu sendiri.
Dalam menyahut cabaran SG Forward, kita sewajarnya kita kekal terbuka terhadap perubahan budaya dan mengambil patinya. Penjajaran kemajuan negara dan kebudayaan masyarakat penting kerana ini yang membezakan teknologi seperti kecerdasan buatan dan golongan manusiawi. Nescaya, budaya kita tidak sahaja kekal hidup dan relevan. Malah, disenangi masyarakat lain juga. Barulah manifestasi tidak akan Melayu hilang di dunia menjadi kenyataan dalam dunia yang pesat berubah.